Izzuddin meminati sukan mendaki gunung bagi menjaga stamina badan dan mengenali lebih ramai kawan baru.
Oleh Aniza Zainudin


Hujan lebat diiringi ribut ketika pendakian ke Stesen 7 menerusi laluan Yoshida ke puncak Gunung Fuji, memaksa tiga sahabat dari Malaysia menghentikan pendakian seketika demi keselamatan diri.

Misi menawan puncak gunung berapi kedua tertinggi di Asia pada September 2018 itu bermula seawal jam 6 petang, ketika gerimis mula membasahi bumi.

Sebaik tiba di Stesen 7, keadaan cuaca semakin tidak mengizinkan apabila hujan kian lebat dan ribut selama tiga jam hingga pihak keselamatan mengeluarkan arahan supaya turun ke stesen 6.

Selepas lima jam terperangkap dalam hujan lebat hingga terpaksa berteduh dalam tandas, akhirnya penantian Mohamad Izzuddin Fikri Mohd Nizar, 28, Suriani Muhamad dan Nurhidayu Md Tarmizi (masing-masing berusia 30 tahun) berakhir apabila sang mentari pagi terbit dari timur.

Teruja dengan keindahan ciptaan Tuhan, lelaki yang mesra disapa Izzuddin ini mengakui ia menjadi dorongan buat dirinya dan seorang lagi teman untuk meneruskan pendakian kali kedua. Seorang teman lagi memutuskan untuk menarik diri.

“Selepas berbincang dengan rakan, saya dan Suriani memilih untuk meneruskan pendakian semula ke puncak Gunung Fuji yang memiliki ketinggian 3,776.24 meter.

“Tanpa menukarkan pakaian basah dan makan, sekadar secawan kopi, kami berdua memulakan pendakian yang semakin mencabar terutama di Stesen 8 dan 9.

“Tetapi alhamduillah, cuaca sangat baik dan kami berdua berjaya tiba di puncak Gunung Fuji selepas lapan jam pendakian, kira-kira 8 pagi,” kata pencinta sukan lasak ini.

Menyifatkan ekspedisi menawan Gunung Fuji antara satu pengalaman istimewa, lelaki berusia 28 tahun ini mengakui sukan lasak ini banyak memberi pengajaran untuk dirinya mengemudi kehidupan.

Berupaya membina keyakinan diri, stamina dari segi fizikal mahupun mental, Izzuddin juga berpeluang meluaskan jaringan sosial berbeza latar belakang.

Mula aktif dalam sukan ekstrem ini sejak empat tahun lalu, pegawai teknologi maklumat ini tertarik dengan keindahan alam dan pemandangan indah dari puncak gunung hingga tercetusnya minat hari ini.

“Gunung pertama saya daki Gunung Rajah di Bentong menggunakan trek Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu. Treknya memang agak panjang, jauh dan mencabar berbanding trek di Chamang.

“Pendakian kali pertama itu mengambil masa kira-kira 10 jam untuk tiba di puncak, tambahan pula, banyak barang dibawa termasuk makanan, khemah dan peralatan lain.

“Bersama tiga lagi kawan menikmati kedinginan malam, saya mula jatuh cinta dan melakukan aktiviti ini sekiranya berkelapangan atau hujung minggu.

“Antaranya yang pernah saya daki termasuk Gunung Semangkok dan Gunung Nuang (Selangor), Gunung Chamah dan Gunung Yongyap (Kelantan), Gunung Ulu Sepat dan Gunung Korbu (Perak), Gunung Kinabalu (Sabah) serta Gunung Yong Belar (Pahang).

“Di luar negara pula Gunung Fuji dan Gunung Rinjani (Indonesia),” ceritanya lagi.

Berkongsi impian, Izzuddin merancang untuk mendaki gunung di Indonesia terutama Gunung Semeru dan Gunung Raung, tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 8:50 AM