MUHAMMAD Amirul Ashraf bersenam di gimnasium terbuka KLSC.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Terletak di Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) antara lokasi menarik untuk dikunjungi bersama keluarga kerana suasananya menenangkan selain dilengkapi kemudahan riadah bertaraf antarabangsa.

Pada waktu malam pula, KLSC disinari sistem pencahayaan Light-Emitting Diode (LED) di stadium utama dan pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis makanan yang dijual dengan konsep trak makanan.

Bukan itu saja, KLSC turut dilengkapi gelanggang futsal, bola keranjang termasuk trek papan selaju yang sesuai dengan jiwa ‘anak muda’ untuk sukan ekstrem berkenaan.

Pengunjung, Mohd Shahidi Salleh, 48, berkata, kemudahan ditawarkan di KLSC menjadi tarikan utama pengunjung khususnya lokasi berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Bukit Jalil.

Menurutnya, kawasan yang luas dengan kemudahan beriadah selain surau dan tandas awam membolehkan masyarakat terutama mereka berkeluarga menjadikan KLSC sebagai lokasi pilihan bersantai.

“Taman di KLSC ini memiliki semua kemudahan di satu lokasi sama memudahkan pengunjung untuk beraktiviti pada bila-bila masa.

“Sudah pasti ini bakal menjadi lokasi pilihan kepada masyarakat yang sebelum ini hanya tertumpu kepada beberapa taman riadah utama di Kuala Lumpur untuk beriadah,” katanya yang menetap di Jelatek.

Peguam, Muhammad Amirul Ashraf A Ghani, 28, berkata, trek joging dibina di sekitar KLSC dianggap terbaik untuk penggemar aktiviti itu mengekalkan stamina.

Katanya, taman di KLSC mempunyai khidmat pengawal keselamatan menyebabkan ia selamat untuk aktiviti luar terutama pada waktu malam.


MOHD Shahidi bawa keluarga berseronok dan beriadah.

“Saya sering bersukan di sini sejak beberapa bulan lalu dan kemudahan bersukan serta trek joging boleh dianggap terbaik berbanding beberapa lokasi lain.

“Kemudahan lain seperti tempat parkir kenderaan yang luas dan kawalan keselamatan menyeluruh menjadikan pengunjung berasa lebih selamat serta selesa untuk beraktiviti terutama pada waktu malam,” katanya.

Penyedia perkhidmatan sewaan, Yassin Yaacob, 44, berkata, KLSC berpotensi dipopularkan kerana kemudahan dimiliki setanding taman utama di ibu kota.

Menurutnya, jumlah pengunjung kebiasaannya bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Saya menjalankan perkhidmatan sewaan basikal, beca, buggy dan skuter kepada pengunjung dengan harga serendah RM10.

“Pengunjung menjelajah kawasan KLSC sambil bergambar di lokasi menarik terutama di stadium yang memasang lampu LED.

“KLSC sudah pasti menjadi pilihan warga kota kerana memiliki pelbagai kemudahan di satu lokasi yang sama dan ia perlu dipromosi dengan lebih baik untuk membolehkan warga kota mengetahui kewujudan dan keunikannya,” katanya.

Oleh itu, taman dalam kawasannya yang lengkap dengan pelbagai kemudahan awam akan menjadi daya tarikan baharu untuk aktiviti riadah di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 9:46 AM