LEKUK yang terbentuk dikatakan ‘tapak kaki’ Tuan Tapa mengikut mitos tempatan.
LEKUK yang terbentuk dikatakan ‘tapak kaki’ Tuan Tapa mengikut mitos tempatan.
Abd Razak Hussin


PERJALANAN 11 jam dari Banda Aceh, Indonesia menghala ke selatan tidak membosankan.

Pemandangan indah yang dihiasi sawah padi, tasik menghijau, banjaran dan pergunungan berbalam, pantai landai dan Lautan Hindi membiru menjadikan kami sibuk merakamnya dengan kamera telefon masing-masing.

Delegasi terdiri daripada Direktur Politeknik Aceh Selatan (Poltas), Dr Muhammad Yasar dan timbalannya, Ardy; penulis; dua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Akil dan Faiq; Dr Norzalina bersama dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan perunding usahawan, Azlina singgah di Kota Meulaboh ketika menjelang Maghrib.

Kami diraikan makan malam oleh alumni UKM diketuai Dr Murshidin, Timbalan Rektor Universitas Teuku Umar yang sedia menunggu ketibaan kami. Kota Meulaboh Aceh Barat adalah antara tempat paling teruk dilanda tsunami pada 2004 dan kini bangkit menjadi kota pendidikan dan perdagangan yang cergas.

Selepas menempuh perjalanan malam selama empat jam dari Meulaboh, kami tiba di bandar Tapak Tuan Aceh Selatan tepat jam 12.10 tengah malam dan ditempatkan di sebuah hotel yang terletak betul-betul di pinggir laut.

Keesokan paginya, diadakan majlis perasmian Program Perkhemahan Bakti Sosial Mahasiswa anjuran Poltas yang disertai 11 institusi pengajian tinggi termasuk empat dari Malaysia iaitu UKM, UPM, Universiti Malaysia Pahang dan Kolej Politeknik Mara.

Segala persiapan rapi dilakukan selain masyarakat Trumon Tengah Aceh Selatan menyambut ketibaan peserta di pusat pemeliharaan gajah dengan meriah serta ramah sekali.

Satu lagi aktiviti menarik adalah ekspedisi mendaki Gunung Cot Lawang di Desa Ie Jeurneh Trumon Tengah. Tujuan pendakian itu adalah untuk sampai ke air terjun Rinyeun Siribe (Tangga Seribu) yang baru sahaja ditemui penduduk desa sekitar tiga bulan lalu. Ekspedisi turut disertai pemimpin tempatan termasuk Ketua Polis Aceh Selatan.

Kami amat terharu kerana Kepala Kampung Ie Jeurneh, Bapak Suwardi bersusah payah memanjat puncak air terjun untuk memacak bendera Malaysia dan terus berkibar di situ.

MERAKAM kenangan berlatarbelakangkan Air Terjun Seribe.
MERAKAM kenangan berlatarbelakangkan Air Terjun Seribe.

Nama Kota Tapak Tuan diambil daripada legenda tapak kaki besar yang ditemui di batu karang pantai sejak sekian lama.

Nama Kota Tapak Tuan diambil daripada legenda tapak kaki besar yang ditemui di batu karang pantai sejak sekian lama. Penduduk tempatan percaya, pada masa dahulu ada seorang wali bernama Syeikh Tuan Tapa beruzlah (beribadah sendirian) dipergunungan berdekatan. Disebabkan peribadatannya terganggu oleh perebutan seorang

puteri antara raja dengan naga di laut, Syeikh Tuan Tapa yang mempunyai kesaktian menjelmakan dirinya menjadi raksaksa marah lalu melompat turun mengejar naga itu. Hasil lompatan itulah yang membekas sebagai tapak kaki

besar yang kekal sehingga kini.

Ketika kunjungan itu penulis mencadangkan agar satu penyelidikan rentas disiplin dilakukan untuk membentuk naratif saintifik terhadap tapak itu dari perspektif sejarah, sosiologi, geologi dan sosio-ekonomi.

Tapak Tuan dan Aceh Selatan kaya dengan sumber aslinya seperti perikanan, flora dan fauna, adat dan budaya, pantai dan perbukitan, sejarah dan peradabannya.

Namun ia belum dikembangkan secara intensif untuk menjadi sumber kemakmuran rakyat dan wilayah. Barangkali faktor jarak perjalanan yang jauh iaitu sekitar 10 jam sama ada dari Banda Aceh atau Medan menjadi penghambat untuk pelancong datang secara besar-besaran.

Dalam perbincangan dengan pihak Poltas dan pemimpin tempatan, kami mengesyorkan agar industri kecil dan sederhana berasaskan sumber asli yang kaya di kawasan itu dikembang dan dijenamakan dengan nama Tapak Tuan.

Misalnya Minyak Pala Tapak Tuan, Minyak Sireh Tapak Tuan, Keropok Lazat Tapak Tuan dan Batu Jed Tapak Tuan. Menangani persoalan ini, barangkali Poltas boleh berkolaborasi dengan rakan institusi Malaysia mengembangkan idea ini sehingga Tapak Tuan bersebati dalam pemikiran sebagai pengeluar produk berkualiti yang menjadi buruan semua orang.

Menjejaki Tapak Tuan, adalah pengembaraan sangat bermakna yang memungkinkan kami merumuskan di sana kami menemui betapa kayanya keluhuran budi bahasa, rasa persaudaraan dan sumber asli yang sangat besar potensinya untuk dimajukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 10:12 AM