PESERTA bersedia untuk berakit menyusuri Sungai Hulu Langat.
PESERTA bersedia untuk berakit menyusuri Sungai Hulu Langat.
Helmy Abd Rahman


NEGARA ini dianugerahkan keindahan alam semula jadi di merata tempat. Boleh dikatakan setiap pelosok negeri di Malaysia pasti mempunyai kawasan semula jadi yang indah dan mendamaikan baik pulau, pantai, hutan mahupun sungai.

Malangnya sikap segelintir pengunjung tidak menghargai keistimewaan yang ada dengan meninggalkan sampah di tempat riadah, sedikit sebanyak mencemarkan keindahan kawasan itu.

Menyedari pentingnya memastikan alam sekitar sentiasa bersih, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini menganjurkan pertandingan Berakit Sambil Membersihkan Sungai Hulu Langat.

Menariknya, pemenang tidak dipilih berdasarkan siapa tiba dahulu di garisan penamat, sebaliknya ia diberikan kepada kumpulan peserta paling banyak mengutip sampah dalam tempoh dua jam.

“Hampir 50 peserta mengambil bahagian dan mereka terdiri daripada belia dan penduduk tempatan selain penuntut Queens College. Ada juga penyertaan membabitkan keluarga penduduk kampung.

“Sebanyak 11 rakit mengambil bahagian dengan setiap rakit diwakili empat peserta yang berakit menyusuri Sungai Hulu Langat di Kampung Jawa sejauh kira-kira empat kilometer (km).

“Program ini diketuai Ketua Kampung Batu 18 iaitu Aris Salleh atau lebih dikenali Tok Aris,” kata wakil biro media merangkap penyelaras program, Fauzi Abd Majid.

Menurutnya, aktiviti ini bertujuan mendidik masyarakat mencintai dan menjaga alam serta pada masa sama mengeratkan hubungan antara penduduk sekitar.

Jelasnya, masa dua jam diberikan kepada setiap kumpulan untuk memungut dan membawa sampah ke tempat timbang sampah.

“Secara keseluruhan, kira-kira 300 kilogram (kg) sampah dikumpul antaranya rangka motosikal, besi buruk dan kayu hanyut. Pemenang pula berjaya memungut sampah seberat 80kg,” katanya.

Katanya, pihaknya bercadang menjadikan program berkenaan acara tahunan, lebih-lebih lagi berikutan sambutan luar dugaan diterima pihak penganjur.

“Kami terpaksa hadkan peserta sebab terlalu ramai yang ingin turut sama mengambil bahagian. Secara ringkasnya program ini kami sifatkan berjaya mencapai matlamat untuk mengajak orang ramai mencintai alam terutama sumber air.

“Usaha memastikan sungai dan alam sentiasa bersih juga mampu menjadikan kawasan ini tarikan ramai yang secara tidak langsung berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 11:18 AM