MENDENGAR taklimat daripada pemandu pelancong.
MENDENGAR taklimat daripada pemandu pelancong.
Asmidar Zainol


SERAMAI 22 penggiat media sosial dari Semenanjung Malaysia dibawa meneroka kawasan pelancongan di sekitar Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, Sabah selama lima hari.

Lokasi berkenaan dikenali sebagai destinasi popular membabitkan aktiviti konservasi selain kaya dengan tinggalan warisan yang memaparkan etnik atau suku tempatan menetap di daerah itu.

Menurut Pegawai Pelancongan Tourism Malaysia (TM), Syafikh Errsyam, penganjuran program berkenaan sempena Pesta Makanan & Pertanian Sandakan 2019 berlangsung di Bandar Kim Fung Sandakan.

“Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan produk pelancongan di pantai timur Sabah dalam usaha mempromosikan destinasi pelancongan di negeri ini sempena kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

“Sepanjang program ini, peserta berpeluang menyusuri Sungai Kinabatangan, melawat lumpur gunung berapi Lipad, mengunjungi tempat bersejarah seperti Rumah Agnes Keith, Gereja St Micheal, Tokong Buddha Puu Jih Shih, Taman Peringatan Sandakan dan Muzium Warisan Sandakan.

“Selain itu, mereka akan dibawa mengunjungi Perkampungan Air Sim Sim, melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo dan Pusat Penemuan Hutan Hujan,” katanya.

Kata Syafikh, penganjuran program seumpamanya dapat mengeratkan jalinan kerjasama antara penggiat media sosial dengan sektor kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan industri pelancongan di sini.

“Peserta akan berkongsi pengalaman dan gambar sepanjang program berlangsung dan kita jangkakan 80 hingga 100 perkongsian mengenai Sabah akan disiar dalam laman sosial media seperti Facebook, Instagram,YouTube, Twitter dan blog.

“Kami berharap perkongsian peserta di laman sosial mereka akan mendapat jangkauan antara lima juta hingga enam juta pembaca.

“Ini secara tidak langsung akan membantu mempromosi dan menimbulkan minat dalam kalangan pembaca untuk melawat Negeri Di Bawah Bayu,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin melihat perkongsian pengalaman mereka boleh mengikutinya melalui tanda pagar #TourismMalaysia,

#MalaysiaTrulyAsia, #CutiCutiMalaysia, #VM2020 #GoSabahExperienceMore #SabahOkBah #SyiokOSabah #MalaysianHospitality dan #MasWingsMates.

Program lawatan berkenaan mendapat kerjasama dan sokongan daripada Malaysia Airlines, MASwings, Sabah Tourism Board, Sandakan Tourist Association, Myne Resort Kinabatangan dan Tabin Wildlife Resort.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 11:40 AM