BEREHAT dan melapangkan fikiran dengan melakukan aktiviti riadah dihujung minggu.
BEREHAT dan melapangkan fikiran dengan melakukan aktiviti riadah dihujung minggu.
Zaitie Satibi


MEREKA yang sentiasa sibuk dengan urusan harian dan bekerja pasti menginginkan satu masa untuk berehat dan melapangkan fikiran dengan melakukan aktiviti riadah di hujung minggu.

Selain mengunjungi destinasi percutian, ramai yang memilih beriadah dengan melakukan aktiviti lasak atau bersukan untuk menyihatkan badan selain bersosial.

Mohd Adam Embi, 29, dari ibu negara, yang tidak berkesempatan pergi bercuti terutamanya di tempat yang jauh kerana jadual padat, memilih Paradise Valley di Broga, Semenyih, untuk beriadah bersama rakan pada hujung minggu, baru-baru ini.

Broga di daerah Hulu Langat, Selangor sering menjadi destinasi lawatan hujung minggu untuk mendaki sambil menikmati keindahan alam di Bukit Broga.

Namun, tidak ramai yang menyedari lokasi dengan jarak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur itu menawarkan pelbagai aktiviti lasak berkumpulan.

“Saya gemarkan aktiviti lasak dan memilih destinasi ini untuk merasai pengalaman yang boleh membuat jantung berdegup kencang. Malah, kedudukannya di tanah lembah yang dikelilingi bukit, hutan dan tasik sememangnya berbaloi dengan aktiviti disediakan.

BERMAIN sambil memakai sut bola getah gergasi undang keseronokan.
BERMAIN sambil memakai sut bola getah gergasi undang keseronokan.

“Ada 20 aktiviti lasak boleh dicuba yang disediakan operator pelancongan, antaranya meluncur udara ‘flying fox,’ memanjat dinding berhalangan, memanah, berkayak dan bermain bola gergasi,” katanya.

Katanya, dia dan 15 rakan tiba awal pagi berikutan aktiviti yang dirancang hanya dapat dihabiskan sehingga petang. Masing-masing menunggang motosikal semata-mata ingin menikmati pemandangan suasana perkampungan tradisi sepanjang laluan ke destinasi itu.

“Riadah kami dimulakan dengan aktiviti memanah sekadar memanaskan badan sebelum meneruskan dengan aktiviti lain yang lebih lasak. Terlebih dulu, kami diberi taklimat penggunaan busur dan cara memanah,” katanya.

Selesai memanah, kumpulan berkenaan menguji kemahiran masing-masing bermain bola sepak. Uniknya, mereka perlu bergerak di dalam bola getah gergasi dikenali sebagai ‘zorb ball’. Permainan ini menyeronokkan kerana pemain bukan saja boleh bergolek, malah melambung apabila dilanggar lawan.

“Masing-masing kelihatan lucu berada dalam sut bola getah gergasi.

MENGUJI ketepatan mata dengan memanah.
MENGUJI ketepatan mata dengan memanah.

Biarpun ada yang bermain dengan ganas apabila melanggar pihak lawan tanpa belas kasihan ketika merebut bola, kami masih boleh ketawa.

“Kami tidak dapat berlari atau merebut bola dengan baik dalam sut bola getah yang diisi udara ini. Disebabkan itu pelbagai insiden lucu berlaku seperti jatuh berguling dan tubuh melantun apabila terlanggar sesama sendiri,” katanya.

Selepas rehat dan makan tengah hari, Mohd Adam dan rakan bersedia meneruskan aktiviti lasak lain dan kali ini mereka memilih aktiviti yang mendebarkan, menaikkan adrenalina dan menguji tahap keberanian serta kepantasan.

“Kami sepakat meluncur dengan kabel merentasi pokok

dan tasik di lembah ini. Aktiviti ‘flying fox’ di sini boleh dikatakan antara yang paling mencabar kerana tempat pelepasannya bermula dari atas bukit.

“Sudah tentu ia amat tinggi dan ketika dilepaskan untuk meluncur turun adalah detik paling teruja. Takut dan seronok bercampur-baur, ada antara kami menjerit sekuat hati kerana sangat mendebarkan.

“Seterusnya kami menguji kepantasan dengan acara memanjat menara. Dalam aktiviti ini siapa yang memanjat dengan pantas dan sampai dulu di puncak dianggap pemenang. Namun, bukan mudah memanjat menara ini kerana ada banyak halangan pada dindingnya,” katanya.

Puas melakukan aktiviti di padang dan tempat tinggi, kumpulan berkenaan memilih aktiviti air bagi menamatkan riadah pada hujung minggu itu. Antara aktiviti air disediakan pihak operator di kolam buatan seperti berkayak santai, membina rakit dan bermain polo air.

“Kami memilih berkayak, namun acara yang sepatutnya berlangsung santai bertukar riuh apabila ada rakan bertindak seperti kumpulan lanun yang cuba merampas kayak dinaiki. Mereka berusaha menterbalikkan kayak dan membuatkan sebahagian kami terjatuh ke dalam air.

“Kolam itu pun tidak dalam dan airnya hanya separas pinggang dewasa, namun cukup membuatkan sesiapa yang terjatuh basah-kuyup. Biarpun demikian, sebenarnya kami seronok kerana jarang dapat menikmati suasana begini,” katanya.

MELUNCUR dari bukit aktiviti ekstrem di Broga.
MELUNCUR dari bukit aktiviti ekstrem di Broga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 11:55 AM