LUKISAN mural berkisar aktiviti pekerja imigran China. FOTO NSTP
Zaitie Satibi

LAMBAKAN bangunan lama di Kuala Lumpur yang mempunyai sejarah tersendiri sememangnya berpotensi menjadi tarikan pelancong. Malah, seni bina bangunan sejak zaman kolonial menarik perhatian pelancong yang ingin mengabadikan foto untuk kenangan atau dimuatkan dalam laman sosial.

Langkah memberi nafas baharu pada bangunan lama berusia lebih 100 tahun di Jalan Petaling dan Jalan Panggung dengan menghidupkannya semula menerusi sentuhan artistik menambah senarai destinasi pilihan untuk percutian singkat hujung minggu di ibu kota.

Tarikan terbaru digelar Kwai Chai Hong itu membabitkan 10 kedai dan satu lorong belakang kedai berkenaan yang dinaik taraf menjadi tempat yang selamat, bersih dan boleh dilawati.

Lorong belakang kawasan komersial itu dahulunya dikaitkan dengan lokasi yang kotor, tidak terurus dan tidak selamat.

Projek bina semula dijalankan bagi mengubah suasana lorong belakang termasuk melukis hamparan mural dinding daripada pelukis tempatan yang dapat menyalurkan mesej dan sejarah sesuatu tempat serta bangunan.

Mengikut sejarah, sekitar Jalan Petaling adalah kawasan penempatan kaum Cina ketika zaman kolonial British.

LOKASI agak tersorok di Jalan Petaling. FOTO NSTP

Sebaik melangkah ke lorong belakang itu, pengunjung pasti terpesona dengan lukisan jalanan yang menampilkan gaya hidup masyarakat Cina pada era 1960-an. Jari juga tidak berhenti merakam suasana lorong yang direka seperti zaman silam. Pastinya sudut menarik untuk berswafoto menjadi sasaran!

Terdapat enam lukisan mural yang berkisar aktiviti harian masyarakat yang berasal pekerja imigran dari China yang menghuni kawasan berkenaan satu ketika dulu.

Antaranya, seorang lelaki tua bermain alat muzik tradisional Cina ‘er-hu,’ kanak-kanak bermain guli, penulis surat, kedai kopitiam, tukang gunting rambut dan pemilik rumah sewa.

WATAK pemain alat muzik tradisional antara tarikan. FOTO NSTP

Selain itu, projek berkenaan turut mengekalkan tiang lampu lama yang dipasang kali pertama Kuala Lumpur menerima bekalan elektrik pada awal 1900 dan tingkap kayu daripada bangunan asal.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah lokasi berkenaan, pengunjung boleh mengimbas kod QR disediakan pada setiap lukisan mural.

Kwai Chai Hong juga bermaksud Lorong Anak Hantu biarpun tiada kisah mistik di sebaliknya.

Dikatakan ada tiga versi asal-usul kewujudan nama Kwai Chai Hong. Menurut cerita penduduk, ‘kwai chai’ dalam dialek Kantonis bermaksud syaitan kecil.

IMBASAN kod QR untuk mengetahui lanjut mengenai lukisan mural. FOTO NSTP

Pada era kegemilangan lorong itu, ia menjadi tempat kanak-kanak nakal bermain dan berlari sana-sini sehingga mereka dipanggil anak hantu.

Malah, dikatakan ‘kwai chai’ juga merujuk kepada ahli kumpulan kongsi gelap yang pernah menguasai lorong berkenaan. Keunikan sejarah lokasi pelancongan terbaru ini antara diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi program ‘Kuala Lumpur For All 2019’.

PENGUNJUNG merakam gambar kenangan lukisan mural unik. FOTO NSTP

Lokasi lorong yang dibuka sejak April lalu ini agak tersembunyi, namun ia berhampiran pintu masuk belakang Petaling Street. Ia dibuka untuk kunjungan setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 6 petang dan kira-kira lima minit berjalan kaki dari Stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 7:30 AM