SUSUNAN bot bertingkat menjadi identiti tragedi tsunami. FOTO Zunnur Al Shafiq
SUSUNAN bot bertingkat menjadi identiti tragedi tsunami. FOTO Zunnur Al Shafiq
Hafiz Ithnin

TRAGEDI itu menjadikan kita insaf dan mengenal diri. Ia juga boleh menjadikan kita lebih menghargai dan menyayangi antara satu sama lain terutama membabitkan hubungan sesama manusia.

Mengunjungi Kampong Sungai Muda, Kedah mempunyai auranya tersendiri. Ia bukan sebuah kampung biasa, tetapi lokasi itu mempunyai pelbagai kisah duka yang melanda penduduknya 14 tahun lalu.

Menjadi tumpuan pada 2006 bukan sekadar di media tempatan, malah antarabangsa. Ia adalah lokasi berlaku tsunami besar yang melanda rantau ini pada 2006.

Jika anda berkesempatan mengunjungi perkampungan itu, pasti akan terlihat susunan sampan dan deretan rumah batu yang rosak, tetapi berpagar. Ertinya anda sudah berada berhampiran di Galeri Tsunami.

Di galeri yang dibangunkan Kerajaan Kedah itu, bukan sahaja masih mengekalkan kediaman yang rosak dilanda tsunami, tetapi galeri yang berhampiran dengannya juga terisi pelbagai kisah dan fakta menarik mengenai tragedi itu.

Menariknya, di dalam galeri itu turut dilukis mengenai situasi ketika berlaku tragedi berkenaan. Beberapa barangan tinggalan penduduk kampung yang rosak akibat tsunami itu juga disimpan rapi.

Ketika mengunjungi galeri itu, penulis bertuah kerana bertemu seorang penduduk setempat yang menceritakan pengalamannya ketika berlaku tragedi itu.

TINGGALAN kediaman yang rosak akibat tsunami. FOTO Zunnur Al Shafiq
TINGGALAN kediaman yang rosak akibat tsunami. FOTO Zunnur Al Shafiq

Ishak Abdul Rahman, 50, antara mangsa yang terselamat. Ketika itu dia berada di rumah dan kedudukan kediamannya tidak begitu jauh dengan kawasan pantai.

Katanya, ketika kejadian dia melihat sendiri ombak tsunami memusnahkan kediaman yang berada berhampiran pantai. Malah, dia juga mengenali pemilik kediaman yang berada di dalam pagar galeri itu.

“Jika diingatkan kembali seakan mati hidup semula. Tidak pernah dilihat keadaan ombak yang kuat dan mampu memusnahkan harta benda dengan
sekelip mata. Apatah lagi, ia adalah sesuatu yang tidak pernah kita alami ketika itu,” katanya.

Ishak berkata, pembangunan galeri itu di Kampung Sungai Muda dilihat sesuatu yang baik untuk orang ramai dapat melihat sendiri kesan tinggalan tsunami secara lebih dekat.

PELBAGAI maklumat boleh didapati di Galeri Tsunami. FOTO Zunnur Al Shafiq
PELBAGAI maklumat boleh didapati di Galeri Tsunami. FOTO Zunnur Al Shafiq

Katanya, ia bukan sekadar menjadi produk pelancongan, tetapi mampu memberi orang ramai maklumat dan gambaran mengenai tragedi itu walaupun ia sudah lama berlaku.

Bagi penulis, apabila bercerita mengenai tsunami pastinya negara jiran menjadi destinasi kita untuk melihat kesannya. Bagaimanapun, apabila mengunjungi Galeri Tsunami di Kampong Sungai Muda mempunyai pengalaman yang berbeza.

Apatah lagi bertemu penduduk kampung yang ramah menceritakan pengalaman mereka. Pastinya aktiviti pelancongan anda di lokasi itu penuh bermakna. Apatah lagi membawa si kecil bersama!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe