RUMAH rakit terapung-apung di permukaan sungai.
Mohd Rizal Azman Rifin


ISTIMEWANYA Kuala Rompin, Pahang kerana letaknya berhampiran muara sungai dan pesisir Laut China Selatan.

Malah, ia bukan hanya menjadi pilihan anda yang gemarkan riadah fizikal dan minda, tapi juga lokasi tepat untuk kaki pancing.

Sebut sahaja Sungai Rompin fikiran pastinya terbayangkan banyak hidupan akuatik yang pelbagai spesies khususnya udang galah hinggakan Kuala Rompin dikenali sebagai Bandar Udang Galah.

Baru-baru ini penulis berkesempatan merasai pengalaman sebagai pemancing akuatik sungai itu bersama dua lagi rakan. Untuk kali ini kami memilih D’ Kuala Waterfront sebagai ‘port’ selama dua hari satu malam.

D’Kuala Waterfront antara pusat kunjungan pelancong tempatan hatta mereka yang dari luar negara sekalipun kerana mempunyai pelbagai kemudahan.

Memiliki kemudahan penginapan menerusi 10 chalet di kawasan daratan dan sebuah ‘rumah rakit’ yang mempunyai dua bilik tidur, sudah memadai untuk membuatkan pengunjung ‘lupa’ seketika kegelisahan jiwa.

LALUAN titi kayu menuju rumah rakit.

Rumah rakit yang terletak di pinggiran Sungai Rompin sememangnya unik dan sesuai untuk aktiviti memancing mahupun sekadar ruang bersantai bagi menghirup udara sungai yang segar tanpa pencemaran.

Dalam keterujaan, diakui untuk pengalaman pertama kali ini ada juga rasa gerun dan gayat iaitu ketika mula menjejakkan kaki di rumah rakit itu. Apatah lagi tatkala air sungai sedang pasang dengan gerakan arus yang kuat membuatkan rumah rakit ‘terhuyung-hayang.’

Meskipun kali ini bukan rezeki buat saya dan rakan dalam misi memancing kali ini apabila tidak memperoleh udang galah yang dikatakan banyak di sekitar Sungai Rompin, saya tetap berpuas hati.

Rezeki lain, ikan gelama papan, tuka dan ikan duri terlekat juga pada mata kail. Mungkin saya kurang bernasib baik pada hari itu, tetapi sekurang-kurangnya ketenangan dan kedamaian persekitaran tetap menggamit jiwa.

Ditambah pula dengan paparan panorama pesisir tebing sungai turut diindahkan dengan deretan pokok bakau yang cukup membuatkan hati dan jiwa berasa tenteram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:00 AM