HELANG yang berterbangan di udara mencuri perhatian penumpang bot pelancong di Kuala Sepetang. FOTO Effendy Rashid
Effendy Rashid


GELAGAT burung helang yang berterbangan dan sesekali hinggap di pokok bakau membuatkan kunjungan anda ke Kuala Sepetang, Taiping, Perak menyingkap seribu satu kenangan.

Siapa yang tidak teruja dan melepaskan peluang jika di depan mata sang helang ‘beraksi’ di permukaan air.

Ingin merakam momen indah ini? Anda hanya perlu menaiki bot yang disediakan pengusaha bot pelancong sambil meronda hutan paya bakau di kawasan itu tidak kira pagi atau petang.

Seorang pengusaha bot pelancong, Mohd Jusri Mohd Yusoff menyedia perkhidmatan termasuk melihat aksi helang sekitar hutan paya bakau, perkampungan nelayan, kawasan penternakan ikan dalam sangkar dan kunang-kunang dengan harga RM25 hingga RM35.

Antara burung helang merah yang terdapat di sini dikenali sebagai Brahminy Kite atau nama saintifiknya Haliastur indus membuatkan pengunjung terhibur dengan pelbagai aksi ketika mencari makanan di sungai paya bakau ini.

AKSI sang helang di permukaan air. FOTO Effendy Rashid

Dianggarkan lebih daripada 100 burung helang Brahminy Kite ditemui di kawasan itu.

Kuala Sepetang adalah nama asal bagi Port Weld. Malah, Kuala Sepetang juga nama rasmi yang diisytiharkan Kerajaan Perak.

Destinasi pelancongan unik ini terletak di kuala sungai yang menghadap Selat Melaka di sebelah barat dalam daerah Taiping.

Terkenal dengan kawasan paya bakau yang luas, kedudukannya juga berhampiran Matang, Au Long dan Kamunting.

Hutan paya bakau ini diuruskan Jabatan Perhutanan Matang.

PAGI atau petang antara waktu paling sesuai melihat aksi helang. FOTO Effendy Rashid

Di destinasi pelancongan ini, selain melihat helang berterbangan, pelbagai aktiviti berasaskan alam semula jadi lain boleh disertai termasuk menyaksikan cahaya kunang-kunang ketika malam.

Pada masa sama, anda juga boleh mengenali pelbagai jenis pokok bakau termasuk bakau minyak, bakau kurap yang masih digunakan untuk menghasilkan arang secara tradisi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:30 AM