PEMANDANGAN menarik di dalam Taman Negara. FOTO Asmidar Zainol
Nurul Husna Mahmud


JIKA lima tahun lalu, penulis pernah menjejak kaki ke bahagian paling utara Borneo atau popular sebagai Tip of Borneo iaitu ke Tanjung Simpang Mengayau terletak di Kudat, Sabah, kali ini berkesempatan ke destinasi paling hujung di Asia yang popular sebagai Tip of Asia iaitu Tanjung Piai, Johor.

Destinasi Tip of Asia berada dalam kawasan hutan paya bakau berkeluasan 900 hektar yang turut digazetkan sebagai Taman Negara pada 1997. Ia sememangnya bukan sahaja terletak paling selatan tanah air malah kedudukan lokasi itu sememangnya paling hujung tanah besar Asia.

Justeru, boleh dikatakan lokasi ini bukan sahaja popular dalam kalangan penduduk tempatan untuk merakam foto malah menjadi tumpuan pengunjung luar negara untuk meninggalkan ‘jejak’ mereka di lokasi berkenaan.

Sebagai tanda, pihak pengurusan Taman Negara membina ‘globe’ bersaiz besar untuk pengunjung merakam momen mereka apabila sampai ke lokasi berkenaan.

Kunjungan penulis ke Taman Negara Tanjung Piai adalah bagi mengisi masa sebaik mengikuti dua kenalan, Asmidar Zainol dan Roslina Hussain yang kebetulan merakam visual fenomena gerhana matahari yang berlaku di kawasan terbabit.

KENANGAN bersama Tip of Asia. FOTO Asmidar Zainol

Untuk sampai, dari Kuala Lumpur semestinya memerlukan pemanduan sejauh lebih 300 kilometer iaitu empat jam perjalanan, sementara dari Johor Bahru pula sekitar 70 kilometer bersamaan kira-kira 1 jam setengah tempoh pemanduan.

Biarpun perjalanan itu jauh, tidak pula terasa penat dan bosan. Bermula dengan perjalanan dari Lebuhraya Utara Selatan kami keluar ke Skudai, Johor dan menyusuri jalan besar Skudai-Pontian sehingga menempuh perjalanan ke beberapa kawasan kampung.

Antara pekan kecil sempat kami singgah ialah Pekan Nanas selain menyaksikan ladang sawit dan kebun milik penduduk di kiri serta kanan jalan.

Pilihan penginapan pula, kami memilih untuk menginap di Inap Desa Keluarga milik salah seorang penduduk tempatan yang turut memiliki kemudahan dapur dan tiga bilik tidur selesa buat mereka datang dalam kumpulan besar.

Selain inap desa pengunjung boleh juga memilih untuk menginap di Tanjong Piai Resort yang turut menawarkan restoran dengan pemandangan laut. Tidak jauh dari lokasi ini ada juga jeti nelayan dan kalau bernasib baik boleh bertembung dengan nelayan baru menurunkan ikan.

ANTARA lokasi boleh dijelajah pengunjung. FOTO Asmidar Zainol

Kembali kepada pengalaman di Taman Negara Tanjung Piai, sebenarnya bukan sekadar bergambar dengan ‘globe,’ malah pengunjung boleh melihat dua negara dari tanah besar itu. Salah satunya ialah pemandangan Pulau Pisang, Indonesia selain Singapura.

Pengamatan penulis, meskipun Taman Negara ini bukanlah tempat biasa untuk berkelah mahupun bermandi-manda, tetapi satu tarikan unik buat pencinta alam atau peminat flora dan fauna.

Menurut seorang renjer yang ditemui, lokasi ini menyimpan 20 khazanah spesies tumbuhan bakau yang penting untuk menjaga ekosistem di pesisiran pantai. Malah antara peranan paling ketara yang boleh dilihat sendiri pengunjung ialah akar pokok bakau melindungi hakisan dan pada waktu lain memerangkap sampah dari terus hanyut ke laut.

Selain tumbuhan, haiwan juga antara hidupan yang ‘menyerikan’ suasana hutan damai. Salah satu pengalaman menarik ialah apabila ada pengunjung ‘disakat’ monyet betina. Justeru diingatkan untuk menjaga keperluan peribadi selain tidak bergerak sendirian kalau tidak ingin menjadi mangsa.

TANGGA tinjau boleh didaki pengunjung. FOTO Asmidar Zainol

Bagi peminat aktiviti memancing, Taman Negara ini mempunyai jeti atau platform untuk aktiviti berkenaan selain kemudahan meninjau burung boleh dilakukan dari menara.

Jika terasa penat menjelajah, tidak usah khuatir kerana Taman Negara ini turut mempunyai wakaf atau pondok untuk pengunjung berehat.

Pesanan penulis supaya anda mengenakan pakaian sesuai selain memakai krim penghalau serangga kerana lokasi ini biasanya ada serangga dan nyamuk.

Aktiviti lain mungkin boleh dilakukan pengunjung ialah ketika air pasang besar. Di depan pintu masuk ada dataran dan biasanya air akan melimpah menyebabkan ia dikunjungi ramai untuk melakukan aktiviti air seperti berenang serta sukan air.

WAKAF disediakan untuk pengunjung. FOTO Asmidar Zainol

Satu lagi perkara unik boleh anda lakukan di sini ialah menghantar poskad atau kiriman surat dari hujung benua menerusi peti surat Pos Malaysia yang berwarna merah terletak di mercu pintu masuk ke Taman Negara berkenaan.

Taman ini dibuka setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang pada Jumaat hingga Ahad dan cuti umum. Bagi Isnin hingga Khamis, operasi bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang dengan harga tiket RM5 untuk dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:00 AM