ANTARA wau tradisional yang dipamerkan.
ANTARA wau tradisional yang dipamerkan.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP orang pasti mempunyai kenangan pada zaman kanak-kanak yang pastinya tidak boleh dilupakan biar pun sudah menginjak dewasa.

Bagi penulis sendiri antara memori yang masih segar dalam ingatan apabila berjaya menghasilkan layang-layang sendiri.

Menjadi satu kepuasan penulis ketika itu dapat melihat sendiri bagaimana layang-layang yang berjaya disiapkan terbang tinggi di udara.

Perasaan sama turut penulis alami apabila melangkah masuk Muzium Wau di Pantai Seri Tujuh, Tumpat, Kelantan, baru-baru ini.

Malah, segala kenangan ketika kecil kembali menjelma sebaik melihat pelbagai jenis layang-layang dan wau yang dipamerkan di muzium itu.

Pengunjung turut berpeluang melihat sendiri 172 wau di dalam dan luar negara termasuk wau bulan, wau kucing dan wau puyuh yang dipamerkan di muzium yang beroperasi sejak 2011.

WAU panda gergasi di Muzium Wau.
WAU panda gergasi di Muzium Wau.

Lebih menarik, kedudukannya yang terletak berhampiran pantai, membuatkan pengunjung dihidangkan dengan pemandangan indah apabila dapat melihat bot nelayan keluar dan masuk jeti.

Biarpun hanya berkeluasan 40x40 kaki persegi, susun aturnya yang kemas dan teratur membolehkan pelbagai wau serta informasi lengkap mengenai permainan tradisional itu dipamerkan.

Jika bernasib baik, pengunjung dapat melihat sendiri demonstrasi membuat wau daripada kakitangan muzium itu.

Penulis yang berpeluang meluangkan masa 30 minit untuk melihat keunikan wau di dalam dan luar negara.

Pembantu muzium, Kamal Nasrul Abdullah berkata, muzium itu ditempatkan di Pantai Seri Tujuh kerana Pesta Wau Antarabangsa diadakan di kawasan itu pada setiap tahun.

“Menerusi kewujudan muzium ini, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai wau di dalam mahupun di luar negara.

ANTARA 172 wau dipamerkan di Muzium Wau.
ANTARA 172 wau dipamerkan di Muzium Wau.

“Di sini kami tempatkan pelbagai jenis wau kebangsaan dan wau tradisi daripada setiap negeri.

“Kebiasaannya pengunjung ramai pada cuti sekolah dan pesta wau antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan termasuk mengadakan bengkel membuat wau membabitkan murid tadika sehingga peringkat universiti.

“Biasanya kami adakan program itu atas permintaan. Selain itu, kami turut ke sekolah untuk mengadakan program sama.

“Usaha ini dilakukan untuk memupuk minat mereka untuk meminati permainan tradisi ini daripada luput ditelan zaman,” katanya.

Pada pandangan penulis, muzium ini sesuai untuk semua peringkat usia untuk mengenali lebih dekat mengenai wau.

Muzium Wau ini beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 8.30 pagi sehingga 5 petang.

RANGKA wau tradisional yang ditempatkan di Muzium Wau.
RANGKA wau tradisional yang ditempatkan di Muzium Wau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe