KAWASAN yang kini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk bersantai. FOTO Amirrudin Sahib
KAWASAN yang kini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk bersantai. FOTO Amirrudin Sahib
Fairul Asmaini

Mohd

JIKA berkunjung ke daerah Hulu Selangor, jangan ketinggalan untuk singgah di Taman Tasik Milenium yang terletak di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu (KKB).

Taman tasik itu kini menjadi tarikan penduduk setempat selepas dibangunkan dan diberi nafas baru.

Pembangunan yang dilakukan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjadikan taman tasik berkenaan lokasi tumpuan untuk beriadah selain ruang dinamik bagi menggalakkan interaksi sosial dalam menjalani gaya hidup sihat.

Menurut Bahagian Korporat MDHS, taman yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan KKB itu dibuka bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Katanya, pengunjung perlu melalui jalan Darul Quran kerana taman itu terletak di belakang pusat pengajian berkenaan dan berjiran dengan Kem Bina Semangat, Yayasan Selangor, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) KKB dan Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Peretak.

“Pengunjung yang hadir berpeluang melihat arca kepala buaya yang terletak di hadapan pintu masuk taman.

KANAK-kanak bermain permainan yang disediakan. FOTO Amirrudin Sahib
KANAK-kanak bermain permainan yang disediakan. FOTO Amirrudin Sahib

“Ia sebagai simbolik sejarah kawasan ini di mana pada masa dahulu terdapatnya buaya putih menyebabkan empangan sedia ada pecah sehingga menenggelamkan Kuala Kubu yang lama,” katanya.

“Selain beriadah dengan melakukan aktiviti ringan seperti jogging sejauh 1.2 kilometer mengelilingi tasik, pengunjung juga boleh mencari ketenangan atau melakukan sukan lain bersama keluarga” - Bahagian Korporat MDHS

MDHS turut menyediakan pelbagai fasiliti asas bagi membolehkan penduduk setempat menikmati kemudahan awam sebaiknya.

Antara yang disediakan termasuk struktur teduhan untuk membolehkan pengunjung berteduh daripada panas atau hujan, menara pandang, surau, tandas awam, wakaf, kerusi taman dan kemudahan asas lain seperti tong sampah juga papan tanda.

Katanya, taman tasik yang berkeluasan 60 hektar itu turut merangkumi stadium mini dan tasik semula jadi.

“Berlatarkan kehijauan alam semula jadi dan tiupan angin yang menyegarkan terutama pada sebelah pagi, taman ini adalah lokasi sesuai untuk seisi keluarga.

“Selain beriadah dengan melakukan aktiviti ringan seperti jogging sejauh 1.2 kilometer mengelilingi tasik, pengunjung juga boleh mencari ketenangan atau melakukan sukan lain bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Taman Tasik Milenium juga sesuai untuk ibu bapa membawa anak kecil kerana terdapatnya dua taman permainan yang unik dibina berkonsepkan dinosaur.

ANTARA permainan kanak-kanak menarik yang berkonsepkan dinosaur. FOTO Amirrudin Sahib
ANTARA permainan kanak-kanak menarik yang berkonsepkan dinosaur. FOTO Amirrudin Sahib

Bagi memberi lebih pilihan, MDHS turut menyediakan kemudahan lain bagi aktiviti berkeluarga antaranya tempat berkelah, gerai jualan, berkhemah dan sebagainya.

Katanya, selain beriadah, taman itu juga dilengkapi dengan kemudahan dua padang bola, padang ragbi serta parkir kenderaan yang luas.

“Ia juga sesuai untuk melakukan sebarang aktiviti sosial seperti pertandingan sukan, perkhemahan, karnival dan sebagainya.

“Semua kemudahan itu boleh disewa dan sebarang urusan penyewaan boleh berurusan terus di Jabatan Landskap MDHS,” katanya.

Sementara itu, Bukit Batu Pahat yang terletak berdekatan dengan kawasan taman berkenaan turut menjadi tumpuan utama bagi penggemar luncur udara (paragliding) dari dalam dan luar negeri.

Justeru, pengunjung yang hadir akan berpeluang menyaksikan aksi luncur udara berkenaan sambil berkelah bersama keluarga kerana penerjun luncur udara ini akan mendarat di padang stadium mini.

Sehingga kini, MDHS membelanjakan hampir RM900 ribu bagi kerja naik taraf kawasan berkenaan seperti menyediakan taman permainan baru, menyediakan kemudahan asas lain termasuk ‘letter box’ I Love Hulu Selangor’ dan Taman Tasik Milenium serta pelbagai lagi.

Untuk mengindahkan lagi landskap kawasan itu, sebanyak 3,006 pokok pelbagai jenis turut ditanam antaranya 626 pokok hutan, 180 pokok buah dan 2,200 pokok renek yang bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung terutama pencinta alam sekitar.

“Dengan adanya kemudahan yang disediakan, pihak MDHS berharap penduduk dapat memanfaatkannya dengan cermat dan bertanggungjawab tanpa berlakunya vandalisme.

“Kemudahan sedia ada akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa bagi membolehkan penduduk dapat melakukan pelbagai aktiviti di taman itu dengan kemudahan yang serba lengkap dan fasilti kelas pertama,” katanya.

PAPAN tanda amaran turut disediakan untuk panduan orang ramai dalam menjaga kemudahan Taman Millennium. FOTO Amirrudin Sahib
PAPAN tanda amaran turut disediakan untuk panduan orang ramai dalam menjaga kemudahan Taman Millennium. FOTO Amirrudin Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 7:00 AM