LAWATAN ke Muzium Tentera. FOTO Ihsan MBSA
LAWATAN ke Muzium Tentera. FOTO Ihsan MBSA
Nurul Husna Mahmud

PORT Dickson, Negeri Sembilan antara destinasi tumpuan buat pengunjung yang meminati acara pantai dan rekreasi air.

Sesuai dengan lokasinya yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur, ia menjadi pilihan terbaik untuk pengunjung berkeluarga mahupun agensi atau korporat yang menganjurkan program riadah.

Tidak terkecuali baru-baru ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang meraikan lebih 30 pengamal media dalam kunjungan lawatan dua hari satu malam ke bandar itu.

Antara tarikan yang dikunjungi kumpulan pengamal media kali ini ialah Muzium Tentera Darat, ‘3D Art Gallery’ selain berpeluang menginap di Cove Avilion yang mempunyai pelbagai kemudahan rekreasi.

Meskipun mengenali Port Dickson sebagai kawasan rekreasi air, detik ketika mengunjungi Muzium Tentera Darat antara yang menarik perhatian kumpulan media sambil diiringi pegawai yang setia memberi penerangan sepanjang lawatan terbabit.

Tidak hanya tarikan galeri yang pelbagai senjata serta dokumen tinggalan ketika peperangan atau milik pejuang dahulu, di luar bangunan ini dibina satu terowong sepanjang 142 meter.

Meskipun keadaan kurang selesa terkepung dalam terowong dibina menyerupai tempat persembunyian Parti Komunis Malaya (PKM), namun paparan seperti bahagian bilik bedah, ruang pengawal, barang pameran dan persenjataan yang dirampas PKM suatu ketika dahulu berjaya menarik perhatian rakan media.

TURUT diraikan dalam jamuan serta cabutan bertuah. FOTO Ihsan MBSA
TURUT diraikan dalam jamuan serta cabutan bertuah. FOTO Ihsan MBSA

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad, program lawatan itu antara inisiatif pihaknya menghargai sumbangan media yang selama ini membantu MBSA.

“Lawatan ini adalah acara tahunan dianjurkan pihak MBSA untuk menghargai sumbangan dan kerjasama pihak media dalam menyampaikan pelbagai maklumat berkenaan aktiviti dan program berbentuk sukan, pembangunan masyarakat, kesenian, kebudayaan dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 7:10 AM