X
BANGUNAN seluruh negara yang turut menyertai Program Limpahan Lampu Biru (#LightItBlue).
BANGUNAN seluruh negara yang turut menyertai Program Limpahan Lampu Biru (#LightItBlue).
Fairul Asmaini Mohd Pilus

BERMULA 30 April hingga 3 Mei lalu, beberapa bangunan ikonik dan laluan utama di Wilayah Persekutuan dilimpahi sinaran lampu biru sempena Program Limpahan Lampu Biru (#LightItBlue).

Program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan itu diadakan di 38 lokasi bermula jam 10.30 malam hingga 1 pagi.

Ia diadakan sebagai simbolik tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan melawan pandemik Covid-19.

Matlamat utama program berkenaan adalah untuk menzahirkan perhargaan dan terima kasih terhadap kecekalan, keringat, pengorbanan, kesungguhan serta jasa pasukan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19 untuk rakyat Malaysia.

Warna biru menjadi pilihan kerana ia adalah warna rasmi bidang perubatan yang membawa maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus.

Apa yang istimewanya, program itu juga mendapat perhatian pihak Istana Negara apabila Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya Istana Negara dilimpahi dengan cahaya kebiruan.

KOMPLEKS Seri Perdana dilimpahi cahaya lampu biru.
KOMPLEKS Seri Perdana dilimpahi cahaya lampu biru.

PINTASAN Saloma turut dilimpahi lampu biru.
PINTASAN Saloma turut dilimpahi lampu biru.

Cahaya biru dinyalakan di tiga lokasi di sekitar Istana Negara iaitu di Dataran Kawad, Kubah Anjung Utama dan Pintu Gerbang Utama Istana Negara.

Baginda berdua dan keluarga, berkenan berangkat meluangkan masa 30 minit untuk menyaksikan program berkenaan yang diadakan serentak di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Di Kuala Lumpur, antara lokasi yang dilimpahi cahaya biru adalah di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1; Dataran Merdeka; Menara TRX; Menara Kuala Lumpur; Pintasan Saloma; Masjid Jamek dan Kolam Biru River Of Life (ROL).

Selain itu, beberapa bangunan seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Tabung Haji (TH), bangunan Umno dan Menara Maybank turut bermandi cahaya lampu biru sepanjang program berkenaan.

MENARA Kuala Lumpur dipasang lampu biru sempena Program Limpahan Lampu Biru (#LightItBlue).
MENARA Kuala Lumpur dipasang lampu biru sempena Program Limpahan Lampu Biru (#LightItBlue).

JAMBATAN Seri Wawasan dihiasi lampu biru
JAMBATAN Seri Wawasan dihiasi lampu biru

Turut dipasang lampu biru ialah Masjid Ibn Khaldun Sungai Besi; Masjid Albukhary Jalan Hang Tuah dan empat lokasi ITIS iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Damansara berhadapan Hotel Majestic, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Lebuhraya Hubungan Timur Barat dari Taman Connaught ke Kuala Lumpur.

Di Putrajaya, Kompleks Perbadanan Putrajaya; Bangunan Setia Perdana; Menara Kementerian Belia dan Sukan; Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Jambatan Seri Wawasan dan Jambatan Saujana dipilih untuk dinyalakan lampu biru.

Manakala di Labuan pula, empat lokasi dipilih iaitu di Wisma Perbadanan Labuan, Jalan Merdeka, Jalan Dewan (Giant LED Board) serta UTC Labuan.

Sementara itu, negeri seluruh negara serta orang ramai juga turut mengambil bahagian menyalakan lampu biru di bangunan utama dan rumah masing-masing sebagai tanda sokongan kepada program berkenaan.

PEMANDANGAN dari tasik Putrajaya yang dilimpahi cahaya lampu biru.
PEMANDANGAN dari tasik Putrajaya yang dilimpahi cahaya lampu biru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 7:00 AM