AKTIVITI mengembara juga perlu melalui normal baharu. - FOTO Google
AKTIVITI mengembara juga perlu melalui normal baharu. - FOTO Google
Hafiz Ithnin

NORMAL baharu. Itu yang perlu kita hadapi meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat kelak.

Melihat rakan-rakan penulis di media sosial yang rata-ratanya adalah pengembara tegar tidak kira secara solo, berkeluarga atau secara berkumpulan nampaknya mula berkira-kira untuk mencari 'kebebasan' itu sebaik sahaja keadaan pulih.

Namun, mungkin tidak lagi mengembara dengan cara yang biasa.

Di sini, penulis melihat sudah tiba masanya untuk kita mengambil beberapa langkah bagi memastikan aktiviti mengembara dapat dilakukan dengan selamat terutama membabitkan kesihatan.

1. Menjaga wuduk bagi mereka yang beragama Islam.

Wuduk bukan sahaja untuk melakukan ibadat, tetapi dapat melindungi diri dan berada dalam keadaan bersih.

Apabila mengembara tidak ada salahnya, malah menjadi amalan yang suci kerana ketika mengembara apabila kita berwuduk dapat memastikan diri sentiasa berjaga-jaga daripada terbatalnya wuduk.

MENJAGA wuduk antara yang boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan diri ketika mengembara. - FOTO Google
MENJAGA wuduk antara yang boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan diri ketika mengembara. - FOTO Google

2. Tidak mengunakan pengangkutan awam yang sesak.

Mungkin sebelum ini dalam aktiviti mengembara kita tidak kisah untuk berada dalam kereta api, bas atau tram yang mempunyai kapasiti ramai kerana ingin menjimatkan masa, wang atau melihat sendiri senario masyarakat tertentu yang menggunakan pengangkutan awam mereka.

Dalam keadaan pandemik ini yang masih samar penawarnya, seboleh-bolehnya elakkan berada dalam keadaan pengangkutan awam yang sesak kerana kita tidak tahu siapa pembawa virus.

3. Tidak berkongsi bekas makanan yang sudah digunakan.

Bagi sesetengah pengembara tidak menjadi masalah untuk berkongsi sudu, garfu, gelas atau pingan yang sudah digunakan rakan pengembara lain.

Namun, dalam situasi kini perkara itu sebaik-baiknya dielakkan kerana dibimbangi berlaku penyebaran virus kerana sikap tidak kisah itu.

Basuh dahulu bekas makanan menggunakan sabun sebelum berkongsi dengan orang lain walaupun sudah biasa dengan rakan pengembara anda kerana tidaklah 24 jam bersamanya bukan?

4. Elakan memakai pakaian yang belum dicuci.

Jika sebelum ini anda sudah biasa membawa pakaian ala kadar untuk mengembara kerana ingin menjimatkan ruang beg dan tidak menjadi kewajipan untuk memakai pakaian yang belum dibasuh, kini persepsi itu perlu ditukar.

Sebaik-baiknya, pastikan pakaian yang sudah dipakai seharian dibasuh dengan bersih iaitu menggunakan sabun kerana khuatir terdapat virus atau bakteria yang melekat pada pakaian anda ketika bersantai.

Tidak ada ruginya untuk mengangkut lebihan pakaian bersih demi memastikan kesihatan anda ketika dan pulang mengembara dalam keadaan baik.

ELAKKAN berkongsi makanan bersama rakan pengembara. - FOTO Google
ELAKKAN berkongsi makanan bersama rakan pengembara. - FOTO Google

5. Elakan bersentuhan kecuali terpaksa!

Mungkin bagi mereka yang gemarkan aktiviti mengembara seperti mendaki gunung atau kegiatan ekstrim ingin menzahirkan ucapan syabas atas kejayaan tertentu dengan bersalaman atau berpelukan.

Mungkin selepas ini boleh mencari alternatif lain seperti hanya berkomunikasi menggunakan kata-kata tanpa bersentuhan kerana ia lebih selamat daripada anda menyentuh rakan pendaki.

Melainkan dalam keadaan kecemasan, itu pun pastikan tangan dibersihkan terlebih dahulu selepas membantu rakan pendaki.

6. Jangan pentingkan diri sendiri.

Sekiranya dalam beberapa hari sebelum mengembara anda tidak sihat. Berjumpa doktor dengan segera dan dapatkan nasihat sama ada anda boleh atau tidak untuk meneruskan perjalanan.

Jika demam sekali pun jangan fikir ia perkara biasa dan meneruskan perjalanan untuk tujuan mengembara kerana tidak mustahil ia adalah simptom atau petanda anda mempunyai virus berkenaan. Minta dijauhkan!

7. Pelitup muka dan cecair pembersih perkara paling wajib dibawa.

Memandangkan penularan virus ini begitu mudah. Jangan abaikan untuk membawa kedua-dua barangan itu kerana anda perlu pastikan individu di sekeliling tidak mudah menyebarkan virus mereka menerusi batuk atau bersin.

8. Insurans dan periksa polisinya juga!

Sekiranya bercadang untuk keluar negara selepas ini pastikan anda mempunyai insurans yang melindungi penyakit penting termasuk diserang Covid-19.

Perkara itu penting kerana terdapat negara asing mengenakan caj perubatan kepada pelancong luar negara. Jadi, sekiranya berlaku masalah kesihatan sekurang-kurangnya anda tidak perlu risau mengenai bil perubatan yang terpaksa ditanggung.

Dalam masa sama jadi individu yang bijak dengan membaca polisi insurans untuk memastikan risiko masalah kesihatan ketika anda berada di luar negara dilindungi.

MENCUCI pakaian perlu dilakukan bagi menjaga kebersihan ketika mengembara. - FOTO Google
MENCUCI pakaian perlu dilakukan bagi menjaga kebersihan ketika mengembara. - FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:15 AM