MAKLUMKAN pada orang terdekat mengenai jadual perjalanan. FOTO Sumber Google
MAKLUMKAN pada orang terdekat mengenai jadual perjalanan. FOTO Sumber Google
Hafiz Ithnin

Mungkin selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, anda antara pengembara yang memilih untuk lebih 'selamat' bergerak secara solo kerana lebih mudah mengawal keadaan daripada berlaku kontak sosial.

Mungkin sebelum ini ada yang mengembara secara berkumpulan tidak lagi selesa kerana ragu-ragu mengenai keselamatan diri memandangkan penawar pandemik Covid-19 belum ditemui.

Jadi, mengembara secara solo sama ada dalam atau luar negara mungkin menjadi normal baharu bagi mereka yang gemarkannnya.

Di sini, dikongsikan beberapa tip yang mungkin boleh membantu anda menjadi pengembara solo:

1. Buat kajian mengenai destinasi percutian.

Mungkin sebelum ini jika anda mengembara bersama rakan-rakan pasti kadangkala merasakan tidak perlu mengambil peduli mengenai destinasi yang hendak dituju memandangkan ada antara rakan lain bakal menjadi penunjuk arah secara percuma.

Sebagai pengembara solo, kajian mengenai destinasi itu sebelum memulakan aktiviti bersantai adalah penting dan menjadi asas kerana sekurang-kurangnya anda dapat mengetahui serba sedikit mengenai destinasi berkenaan dan keperluannya.

2. Maklumkan kepada ahli keluarga atau rakan rapat mengenai destinasi anda.

Perkara ini juga perlu kerana sekurang-kurangnya ahli keluarga atau rakan rapat mengetahui perjalanan anda terutama membabitkan keselamatan.

Tidak salah juga jika tinggalkan jadual perjalanan kepada mereka supaya jika berlaku sesuatu perkara, mereka dapat mengetahui laluan lokasi anda.

3. Jaga barangan berharga.

Jika sebelum ini anda berkongsi bilik hostel atau hotel dengan rakan rapat yang boleh dipercayai, apabila mengembara secara solo keadaan itu berubah.

Tidak akan ada individu yang boleh dipercayai untuk menjaga barangan keperluan anda yang berharga seperti kad pengenalan, pasport, komputer riba, kamera atau wang tunai.

Jadi individu yang peka dengan keadaan keselamatan barangan peribadi terutama apabila perlu berkongsi di bilik hostel yang rata-ratanya pengembara datang dan pergi pada bila-bila masa.

Jadi, apabila anda mengembara solo, mata anda perlu tajam memerhati barangan peribadi.

4. Jangan mudah percaya orang baru.

Walaupun ada yang mengatakan apabila mengembara berseorangan adalah masa terbaik untuk mencari kenalan baru, tetapi anda perlu berhati-hati dan jangan mudah percaya kepada individu yang baru dikenali.

Anda mungkin baru berkenalan dengannya kurang 24 jam!

Bersangka baik itu sesuatu yang positif, tetapi perlu ada batasnya.

Kulit sama warna, tetapi hati lain-lain!

MEMBUAT ‘ulang kaji’ mengenai destinasi percutian dapat memberi banyak manfaat. FOTO Sumber Google
MEMBUAT ‘ulang kaji’ mengenai destinasi percutian dapat memberi banyak manfaat. FOTO Sumber Google

5. Jangan pergi kawasan berisiko.

Memandangkan anda mengembara keseorangan seperti yang dinyatakan di awal tadi perlu membuat bacaan secara khusus mengenai destinasi berkenaan termasuk membaca komen mereka yang pernah melawatinya sebelum ini.

Jika kawasan itu mempunyai banyak kes penipuan kepada pelancong, disarankan anda perlu mengambil langkah berhati-hati apabila ditawarkan sesuatu perkara.

Elakkan keluar ke sesuatu kawasan tidak mempunyai ramai orang kerana kehadiran anda mungkin menjadi perhatian mereka yang ingin melakukan jenayah.

6. Kewangan yang cukup.

Apabila berkelana seorang diri, tidak lagi ada istilah pinjam dahulu.

Mungkin sebelum ini bergerak secara berkumpulan apabila kekurangan wang anda boleh meminjam daripada rakan lain.

Pastikan anda sudah membuat bajet yang baik untuk mengembara seorang diri termasuk menyediakan wang kecemasan.

Lebih penting jangan simpan wang hanya di satu tempat.

Biar merata, tersorok dan ingat kedudukannya kerana sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga, anda mempunyai wang kecemasan itu.

AWASI barangan peribadi ketika mengembara solo. FOTO Sumber Google
AWASI barangan peribadi ketika mengembara solo. FOTO Sumber Google

7. Belajar sikap sabar, tetapi tegas.

Apabila mengembara seorang diri tidak dinafikan kadangkala berlaku perkara di luar jangka seperti ditipu atau diajak 'bermain cinta', tetapi anda jangan cepat melenting.

Tunjukan reaksi tenang, tetapi tegas ketika berbicara apabila berdepan individu seperti itu.

Tolak pelawaan dengan memberikan pelbagai alasan yang tampak serius.

8. Menikmati.

Walaupun jika berlaku sesuatu luar jangka yang tidak baik ketika mengembara seorang diri, jangan jadikan ia sebagai penghalang untuk menikmati percutian anda.

Anggap ia adalah asam garam kehidupan yang perlu tenang apabila berdepan cabaran.

Pengembaraan mengajar mengenai hidup dan bukan sekadar memotret foto di media sosial.

Nikmatilah!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 6:15 AM