ROSOL (kiri) ketika mepengerusikan mesyuarat bersama badan pelesenan pungutan royalti di pejabat MyIPO. Turut hadir, Roslan (dua dari kiri), Rosmin (kanan) dan M Nasir (dua dari kanan). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ROSOL (kiri) ketika mepengerusikan mesyuarat bersama badan pelesenan pungutan royalti di pejabat MyIPO. Turut hadir, Roslan (dua dari kiri), Rosmin (kanan) dan M Nasir (dua dari kanan). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ridzuan Abdul Rahman


SEGALA polemik hangat yang berbangkit sebelum ini akhirnya menemui titik penyelesaian yang sempurna dan menang-menang.

Penggiat seni dalam kalangan pemuzik dan penyanyi akhirnya menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju menjelaskan kutipan royalti yang

tertunggak sejak 2018.

Keputusan dicapai hasil pertemuan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid bersama Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Datuk M Nasir; Pengerusi Public Performance

Malaysia (PPM), Rosmin Hashim; Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahyudin dan Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) selaku pemegang amanah untuk PRISM, Mohamed Faizal Mohamed Fedder.

Perbincangan dengan Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid pula berlangsung secara virtual.

Rosol berkata, bayaran awal royalti berjumlah RM500 seorang kepada ahli PRISM dan RPM yang dianggarkan 1,000 orang akan mula dibuat bermula Januari tahun depan.

"Keseluruhan royalti berjumlah RM11.7 juta dan selepas pengagihan pertama, bakinya RM11.2 akan diagihkan secara berperingkat. Bagaimanapun sebelum agihan dibuat, beberapa syarat akan diteliti oleh badan pelesenan ini.

"Dalam situasi kita berdepan dengan pandemik Covid-19 ini, saya pasti penyanyi dan pemuzik rakaman yang terbabit menarik nafas lega kerana kita juga faham mereka turut terjejas dan hilang sumber pendapatan," katanya.

RPM dan PRISM sebelum ini gagal menemui kata sepakat untuk agihan royalti selepas ahli PRISM mendaftar sebagai ahli RPM berikutan penggulungan PRISM.

Menurutnya, ada isu pertindihan apabila ahli mempunyai dua keahlian iaitu RPM dan PRISM dan ia akan diselesaikan.

"Kita mengharapkan agar semua penggiat seni termasuk artis yang belum berdaftar dengan mana-mana badan pelesenan, dapat berbuat demikian bagi memudahkan urusan tuntutan royalti.

"Ia amat penting agar urusan agihan royalti dapat dibuat. Ada di antara artis yang tak pernah bernaung bawah mana-mana persatuan. Dalam kesuntukan masa ini mereka teraba-raba untuk mencari tempat. Apabila 'sakit' baru nak cari kawan memang susahlah," katanya.

Rosol turut meletakkan kepercayaan kepada semua badan pelesenan terbabit untuk mengutip royalti seperti yang diamalkan sebelum ini.

"Kita menghormati permintaan setiap badan dan percaya dengan pengalaman lebih 40 tahun mereka dalam bidang ini. Sebagai pemudah cara, kami ha

nya akan memantau. Jika ada perkara berbangkit atau tidak puas hati, ahli boleh membuat tuntutan di Tribunal Hak Cipta," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol turut memaklumkan MACP, PPM dan RPM menolak cadangan persatuan pengguna muzik untuk melaksanakan moratorium pembayaran royalti.

"Mereka antaranya merangkumi pengusaha hotel, pusat beli-belah dan pemilik restoran mendakwa perniagaan mereka terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Ketiga-tiga badan pelesenan terbabit tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mereka turut terjejas dan hilang punca pendapatan disebabkan Covid-19. Mereka melihat moratorium tidak wajar dilaksanakan kerana penggiat industri muzik juga tiada punca pendapatan sepanjang pandemik Covid-19 melanda," katanya.

Bagaimanapun, Rosol menjelaskan tiga badan pelesenan ini sedia berunding dengan persatuan pengguna untuk menetapkan kadar bayaran royalti yang munasabah dan sesuai dengan keadaan semasa.

Sementara itu, Rosmin berkata, ia tidak adil kerana pengkarya muzik juga terjejas pendapatan akibat Covid-19, tetapi premis perniagaan dan hotel tetap memainkan lagu mereka.

Bagaimanapun, mereka sedia mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:21 AM