PESERTA berjaya menangkap ikan menggunakan jala.

Jempol: Aktiviti ‘mengoca’ atau menangkap ikan secara beramai-ramai amat dinantikan penduduk di negeri ini dan seolah-olah satu kemestian oleh masyarakat setempat terutama selepas musim menuai padi.

Ia bukan saja popular dalam kalangan penduduk setempat, malah kini turut diketahui masyarakat luar yang menantikan aktiviti itu diadakan untuk bersama-sama merasai kemeriahannya.

Aktiviti mengoca di sungai FELCRA Ayer Hitam, di sini, kelmarin, bagaikan pesta apabila lebih 200 orang datang membawa bersama pelbagai peralatan dengan harapan mendapat tangkapan besar.

Pesta yang diadakan sempena program ‘Apa Khabar FELCRA’ ternyata mendapat sambutan luar dugaan.

Mohd Ramli Saidi, 19, dari Kemayan, Pahang sanggup menempuh perjalanan sejauh 35 kilometer dari rumah ke kampung itu bagi menyertai aktiviti itu buat kali pertama.

Menurutnya, dia yang datang bersama seorang lagi rakan terpegun apabila melihat orang ramai menangkap ikan menggunakan tangan dan peralatan asas seperti tangguk.

“Gelagat lincah ikan melompat dalam sungai berkenaan membuatkan ramai pengunjung tidak dapat menahan geram lantas terjun ke sungai untuk bersama menangkap ikan.

“Saya seronok apabila dapat berkubang beramai-ramai untuk mencari ikan di dalam sungai cetek. Risau juga pada awalnya sebab tidak biasa, namun ternyata pengalaman menarik,” katanya yang hanya mendapat seekor ikan sembilang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia FELCRA Ayer Hitam Mohd Yusof Fauzi Ahmad Labib berkata, ratusan ikan tilapia, sembilang dan puyu dilepaskan ke dalam sungai berkenaan bagi menjayakan aktiviti itu.

“Suatu ketika dulu ia antara aktiviti masa lapang penduduk dan disertai pelbagai peringkat usia. Bagaimanapun, ia semakin jarang ditemui kerana ikan berkurangan.

“Menerusi program ini, secara tidak langsung kita dapat mempromosikan semula aktiviti mengoca dan membolehkan orang ramai terutama yang tinggal di bandar mengetahui keistimewaannya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang menganjurkan pesta itu pada masa depan kerana mendapat permintaan bukan saja penduduk kampung tetapi orang ramai.

Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali dan Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Tengah Ahmad Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:19 PM