NAJIB beramah mesra bersama pelabur selepas menyaksikan pertukaran dokumen MOU dan Mesyuarat Majlis pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Transformasi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), memberi impak positif terhadap kehidupan rakyat dengan lebih 140,000 pekerjaan dan 26,000 peluang keusahawanan diwujudkan di kawasan bandar dan luar bandar.

Malah, ECER semakin hampir mencapai sasaran pelaburan RM110 bilion menjelang 2020 susulan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman terbaru bernilai RM9.9 bilion, sekali gus menjadikan jumlah pelaburan komited setakat ini berjumlah RM109.15 bilion.

Pelaburan dimeterai itu dalam sektor utama pelbagai bidang seperti pembuatan, pelancongan, bio-ekonomi dan hartanah yang dijangka mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan untuk rakyat di ECER.

Ia membabitkan 14 pelabur asing dan domestik iaitu Asas Panorama Sdn Bhd, Camel Powers Sdn Bhd, NewOcean Energy Holdings Limited - Kuantan Port Consortium, Rangkaian Iltizam Sdn Bhd, Rezel (Malaysia) Sdn Bhd, Ultimate Ivory Sdn Bhd, ZF Chassis Systems Sdn Bhd dan Zhaoqing Junhong Co Ltd.

Manakala enam lagi adalah syarikat Bumiputera di bawah program TERAJU@ECER membabitkan Detik Aturan Pahang Sdn Bhd, E’sha Bladdar Prima Sdn Bhd, Pointray (M) Sdn Bhd, Innoport Sdn Bhd, Syngas Sdn Bhd, Vertex Central Industries Sdn Bhd.

Majlis pertukaran dokumen antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) selaku badan berkanun bagi memacu serta melaksanakan Pelan Induk ECER dengan pelabur berkenaan diadakan di Bangunan Parlimen, di sini, semalam.

Acara itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi ECERDC, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECERDC yang kedua bagi tahun ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, transformasi sosio ekonomi ECER berjalan lancar susulan usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan dan agensinya termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta kerajaan negeri di ECER.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:25 AM