Cheras: “Saya tidak pernah menyuruh mereka rapat, malah jauh sekali untuk membuat perancangan seperti didakwa Afifah.”

Itu kata pengarah drama Izinkan Aku Mencintaimu, Mansor Akob yang menafikan dakwaan pelakon Afifah Nasir kononnya dia dipergunakan pihak produksi drama itu untuk memujuk dan melayan kerenah Aliff Aziz supaya memberikan kerjasama sepanjang penggambaran.

Mansor atau lebih dikenali sebagai Manchi berkata, dia dan kru produksi lain tidak pernah mengeluarkan arahan dan perancangan sebegitu.

“Bagi saya itu hanya cakap-cakap kosong dalam kalangan kami. Soal masalah di lokasi perkara biasa dan susah nak elak. Namun kedua-dua mereka tetap memberikan komitmen baik,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama berkenaan di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, semalam.

Manchi berkata, dia tidak tahu-menahu mengenai kehadiran Aliff dan Afifah di sebuah pusat karaoke, di sini, pada 27 Julai lalu.

“Perancangan karaoke pun saya tak tahu langsung,” katanya.

Terdahulu, Aliff dan Afifah mencetuskan kontroversi selepas kantoi dengan isteri Aliff, Bella Astillah di pusat karaoke itu.

Aliff ditahan polis untuk siasatan selepas didakwa mengasari isterinya ketika kejadian.

Isnin lalu, Afifah mengadakan sidang media mendakwa ia perancangan pihak produksi drama itu.

Afifah turut menjelaskan kehadirannya ke pusat karaoke itu atas urusan kerja.

Sementara itu, Aliff enggan lagi mengulas mengenai isu itu dan menyerahkan kepada masyarakat untuk menilainya sendiri.

“Saya berasakan rakyat Malaysia pun penat dengan isu ini. Saya pun sudah bercakap bahagian saya. Jadi tak ada apa lagi nak diperkatakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:29 AM
ALIFF dan Afifah di lokasi penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu.