PERALATAN pemalsuan kad TnG yang dirampas.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mampu hidup kaya raya dan menjana keuntungan lebih RM500,000 hasil kegiatan mengklon kad Touch n Go (TnG) sejak tiga bulan lalu.

Sindiket yang didalangi lima individu itu dikesan menghasilkan kad klon dan membuat tambah nilai antara 100 hingga RM1,000 secara haram ke atas kad tulen sebelum menjualnya pada harga diskaun.

Kegiatan sindiket itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melakukan operasi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, jam 3.30 petang Rabu lalu.

Hasil serbuan ke markas sindiket itu, seramai empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia dari 29 hingga 55 tahun diberkas.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan di gudang di Mukim 12, Jalan Juru, Bukit Mertajam yang disyaki dijadikan pusat operasi sindiket pemalsuan kad TnG.

“Individu yang diberkas membabitkan ketua sindiket, pengaturcara sistem dan ejen pengedar kad kepada pembeli.

“Sejumlah 264 kad TnG yang dianggarkan mengandungi nilai lebih RM200,000 dirampas dalam serbuan itu. Turut dirampas tiga unit komputer riba, 10 telefon bimbit, 13 kunci, satu unit perisian komputer, satu unit komputer dan dua kereta,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak tiga bulan lalu dan mengaut keuntungan sebanyak RM500,000.

“Modus operandi yang digunakan adalah menghasilkan kad klon TnG serta membuat tambah nilai tidak sah antara RM100 hingga RM1,000 ke atas kad TnG tulen yang dibeli pada harga minimum.

“Kad ini kemudian akan dijual kepada pelanggan pada harga diskaun antara 20 hingga 30 peratus. Orang ramai yang terbabit dengan penggunaan kad palsu juga akan disiasat dan boleh dikesan ketika melakukan transaksi,” katanya.

Acryl Sani berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua tahanan direman selama empat hari.

“Pihak polis juga akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram/ Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:45 AM