Rombongan Muslim Care menerima cenderamata daripada Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia di Wellington, Mohd Azme Salleh (dua dari kiri).
HM Digital

Taupo: Bagi menarik orang ramai lebih mengenali Islam di bumi New Zealand, Badan Amanah Islam dan Pembelajaran Taupo cuba mendapatkan pemain ragbi All Blacks, Sonny Bill William untuk menjadi ikon Kompleks Masjid Al-Quddus. Bersesuaian dengan imej pemain itu yang beragama Islam, ia diharap dapat menarik masyarakat tempatan untuk lebih mengenali Islam.

Presiden Badan Amanah Islam dan Pembelajaran Taupo Abdul Kuddus berkata, proses perbincangan dijangka dilakukan dalam masa terdekat bersama pihak pengurusan Sonny.

“Kita cuba mendapatkan khidmat beliau untuk menjadi ikon kompleks
ini sebaik selesai dibina kelak.

“Usaha ini dirasakan perlu kerana kita bersungguh-sungguh dalam menyampaikan dakwah Islam di negara ini,” katanya.

Sonny Bill, 30, antara pemain ragbi termahal
New Zealand pernah mencetuskan kontroversi berikutan dia menutup
logo tajaan bank yang menyokong dana haram atas kepercayaan agama Islam.

Abdul berkata, pihaknya berharap pengurusan tertinggi pasukan All Blacks dapat memberi kerjasama untuk memberi kebenaran untuk pemain itu membantu masyarakat Islam.

“Kita belum mendapat tarikh sesuai untuk berjumpa pemain ini,
tetapi dijangka dalam waktu terdekat.

“Doakan semoga usaha kami dipermudahkan
oleh Allah SWT, terutama dalam mengembangkan syiar Islam di bumi ini,” katanya.

Menurutnya, secara peribadi dia mengenali lelaki itu dan akan menggunakan peluang berkenaan sebelum menutup mata bagi mengembangkan syiar Islam di bumi New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:04 AM