THILA (kiri) bersama Syed Abdul Rahman (tengah) dan Phua (kanan).
HM Digital

Kuala Lumpur: Sempena ulang tahun kelima 15 September ini, taman tema keluarga, Legoland Malaysia Resort menawarkan diskaun tiket sehingga 50 peratus selain hotel 30 peratus.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya Thila Munusamy berkata, tawaran itu terhad kepada pengunjung Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bermula 8 September ini.

Menurut beliau, pengunjung terawal pameran selama tiga hari itu layak mendapat tawaran pas tahunan taman tema pada harga RM195 berbanding harga asal RM395 iaitu diskaun 50 peratus.

“Bagi pas harian, kami memberi diskaun sehingga 40 peratus menjadikan harga tawaran RM115 berbanding asal RM195 berdasarkan siapa cepat dia dapat.

“Selain itu, kami menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus untuk penginapan di hotel Legoland dan semua harga menarik ini hanya ditawarkan selama tiga hari pameran MATTA di PWTC pada 8 hingga 10 September ini,” katanya pada sidang media di Wisma MATA di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng dan Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pameran MATTA September 2017 Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:35 AM