SEBANYAK 111 peniaga trak makanan berkumpul sempena Kuala Lumpur Truck Feast.
HM Digital

Kuala Lumpur: Trend penggunaan nama trak makanan atau lebih dikenali sebagai food truck perlu ditukarkan kepada istilah baru, sekali gus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang lebih tepat sebagai rujukan generasi hari ini dan masa depan.

Pakar rujuk bahasa Melayu Ismail Dahaman yang juga bekas Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika mencadangkan perkara itu berkata, nama baru yang sepatutnya digunakan menggantikan trak makanan adalah kendera saji.

Menurutnya, ia bertepatan dengan konsep kreativiti dalam pembentukan istilah yang pernah dirumuskan dalam Persidangan Jawatankuasa Istilah DBP pada 1963.

Jelasnya, konsep berkenaan menekankan penggunaan kaedah autoproduktiviti antaranya penggunaan unsur morfologi sedia ada dalam bahasa Melayu seperti mengaktifkan bentuk imbuhan klasik ‘bi‘ dalam biadab, bitara, bilazim, menggunakan kata klasik bagi membentuk frasa nama baru dan meluaskan atau menyempitkan makna unsur morfologi sedia ada.

“Jika dilihat, istilah trak makanan dibentuk melalui proses penterjemahan secara langsung daripada kata yang membentuk food dan truck dalam bahasa Inggeris yang mana maksudnya tersurat. Proses ini sama dengan kita mencipta frasa ‘bulan madu’ daripada honeymoon dalam bahasa Inggeris, tetapi maksudnya tersirat sebagai peribahasa.

“Apabila kita melihat makna kamus bagi trak yang bererti lori besar atau lori besar dan berat untuk mengangkut orang, barang, dan sebagainya, agak janggal penggunaannya bagi maksud trak makanan dengan takrif kata dasar kamus seolah-olah bererti lori besar yang mengangkut dan memunggahkan makanan dari satu tempat ke satu tempat.

“Jadi untuk menghindarkan salah tafsir terhadap makna itu, dicadangkan penggunaan frasa nama kendera saji sebagai padanan bagi food truck dengan makna sebuah kenderaan darat beroda pelbagai bentuk, besar atau kecil yang dilengkapi kemudahan memasak dan menjual makanan,” katanya menerusi entri di akaun Facebook beliau berjudul Bahasa#Negaraku-Kreativiti Dalam Berbahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:38 AM