TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah sebaik dijatuhi hukuman, semalam.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Lelaki yang juga peniaga kuaci dihukum penjara sehari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri minuman beralkohol, kondom dan coklat di sebuah pasar raya, tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Too Loi Heng, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah selepas faham pertuduhan dikenakan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa dengan niat curang mencuri tiga bungkus Nestle Kit Kat berharga RM19.68, empat kotak Durex Love (RM25), enam tin Guinness (RM74.10) dan sebungkus Milo seberat dua kilogram (RM32.88) berjumlah keseluruhan RM173.71.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pasaraya AEON Jusco Bandaraya Melaka, pada jam 4 petang, 13 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana produk dicuri bukan barangan keperluan asas.

Namun, Too yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya dengan memberi alasan perlu menanggung isteri dan dua anak masih kecil.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 7:19 AM