AYUB (tiga dari kanan) menunjukkan kain pemidang Ekspo Johor Berkemajuan 2017.
Norazimah Narudin
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Ekspo Johor Berkemajuan 2017 julung kali diadakan kerajaan negeri bakal menumpukan tiga kluster utama bagi menonjolkan negeri ini sebagai kuasa ekonomi Malaysia.

Ekspo yang dulunya dikenali sebagai Pesta Pembangunan itu diadakan bermula 6 hingga 16 Oktober depan dan dijangka dihadiri lebih 500,000 pengunjung.

Ia akan diadakan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Hebahan dan Promosi Ekspo Johor Berkemajuan 2017 Datuk Ayub Rahmat berkata, tiga kluster utama yang diketengahkan ialah Kluster Kerajaan Negeri, Kluster Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSJ) dan Kluster Sektoral.

“Kluster Kerajaan Negeri memaparkan sejarah kesultanan negeri, pencapaian dan perancangan semasa kerajaan mentadbir dan membangunkan negeri, manakala PPSJ memberi fokus kepada 10 daerah yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Bagi Kluster Sektoral pula, ia memaparkan pelbagai insentif, skim-skim bantuan, peluang pekerjaan dan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan agensi yang menyertai ekspo,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri pada taklimat mengenai ekspo berkenaan, semalam.

Menurutnya, ekspo dianjurkan bagi meletakkan Johor di pentas global sebagai hab serantau bagi aktiviti perdagangan, industri dan inovasi bagi menunjukkan bahawa Johor adalah negeri yang paling progresif di Malaysia.

Setiap sektor yang terbabit dalam ekspo berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian termasuk acara-acara ikonik yang mempunyai signifikan dan keistimewaan yang tersendiri.

“Pengunjung yang hadir ditawarkan 100 cabutan bertuah berbentuk barangan elektrik dan elektronik serta sebuah kereta dan dua motosikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:36 AM