Najib menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara McAllister (duduk, kiri) dan Bellew.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Boeing dan Malaysia Airlines menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membeli 16 pesawat masing-masing lapan 787 Dreamliners dan 737 MAXs di Washington DC, Selasa lalu.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir, pegawai daripada Malaysia Airlines dan Boeing.

Pengumuman itu termasuk lapan pesawat 787-9 Dreamliners dengan mengubah tempahan lapan pesawat Boeing 737 MAX Malaysia Airlines yang sedia ada serta tambahan lapan hak pembelian 737 MAX 8s, selain perkhidmatan Global Fleet Care Boeing bagi mengurus kumpulan pesawat syarikat penerbangan itu yang sedia ada dan pesawat Boeing yang akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes, Kevin McAllister berkata, Boeing Global Fleet Care menyediakan penyelesaian dalam bentuk Program Kejuruteraan, Bahan dan Penyelenggaraan untuk operator udara.

“Apabila dimuktamadkan, perjanjian itu akan dipaparkan pada laman web ‘Tempahan dan Penyerahan’ Boeing. Boeing menawarkan pesawat berangka besar dan satu lorong terbaik di dunia dan kami gembira Malaysia Airlines terus memberikan kepercayaan dan keyakinan ke atas Boeing menerusi MoU untuk 16 pesawat Boeing ini,” katanya dalam kenyataan di Washington, semalam.

Beliau berkata, pesawat 787 dan 737 MAX akan menyediakan Malaysia Airlines dengan pesawat yang cekap dari segi penjimatan bahan api, ekonomi serta pengalaman penumpang yang hebat yang tiada saingannya ketika syarikat penerbangan itu mengembangkan perniagaan merentas Asia Tenggara dan melepasinya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew berkata, pesawat berangka besar penting dalam mengembalikan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan premium dan menawarkan produk lima bintang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:41 AM