Najib disambut Trump ketika tiba bagi membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih.
BERNAMA

Washington DC : Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung peranan signifikan beliau dalam memerangi keganasan.

Pemimpin Malaysia itu katanya, mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kumpulan keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

“Perdana Menteri memainkan peranan besar tidak membenarkan ISIS atau anda gelar Daish, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan adalah penyokong kuat bagi pendirian itu.

“Jadi itu amat penting bagi Amerika Syarikat,” kata Trump pada lawatan Najib ke Rumah Putih di sini, Selasa lalu.

Terdahulu, Trump menyambut mesra Najib yang tiba di Rumah Putih untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika itu, kemuncak lawatan kerja beliau ke Washington DC dari 11 hingga 13 September lalu.

Selain mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval, kedua-dua pemimpin turut mengetuai mesyuarat delegasi Amerika Syarikat dan Malaysia yang terdiri daripada anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara.

Pada mesyuarat delegasi itu, Trump turut merakamkan penghargaan kepada Najib yang berada di Washington DC atas undangan presiden berhubung pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya pada mesyuarat itu, Najib menyampaikan mesej penting kepada presiden bahawa Malaysia bersama-sama dengan Amerika Syarikat dalam perjuangan memerangi keganasan.

Beliau mengambil perhatian matlamat pentadbiran Trump untuk menjadikan Amerika Syarikat dan dunia sebagai tempat yang selamat, sesuatu yang menurut Najib, apa yang beliau juga mahu capai untuk Malaysia dan melangkauinya.

Najib memanfaatkan pertemuan beliau dengan pemimpin kuasa besar dunia terkemuka itu untuk menyentuh mengenai pentingnya sokongan diberi kepada kerajaan negara Islam berpendirian sederhana serta memenangi hati dan minda masyarakat Islam dalam usaha memerangi ancaman keganasan.

“Dalam hal ini, perkara paling penting ialah memberi sokongan kepada rejim dan kerajaan negara Islam yang berpendirian sederhana serta progresif di seluruh dunia kerana itu wajah Islam yang benar-benar tulen.

“Lebih rapat hubungan anda dengan rejim progresif dan berpendirian sederhana, maka akan lebih berkesanlah usaha untuk memenangi hati dan minda dunia Islam,” kata Najib.

Perbincangan di Rumah Putih itu berlangsung ketika Malaysia dan Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala antara dua negara berkenaan tahun ini.

Najib menegaskan Amerika adalah sahabat Malaysia sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:44 AM