ABANG Sallehuddin
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sudah lengkap, ada semua keperluan untuk jadi bahasa yang baik, berbudaya tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, tiada kekurangan pada bahasa Melayu hari ini kerana ia sudah mencapai standard tinggi yang diperlukan, namun sikap masyarakat dan penuturnya menjadi faktor penting sejauh mana ia digunakan.

Katanya, persoalan hari ini ialah sejauh mana kemampuan pengguna untuk menggunakan bahasa itu sama ada dalam konteks rasmi atau sebaliknya kerana ia sememangnya bahasa saintifik moden.

“Sebab itu ada orang yang salah tanggapan iaitu bahasa Melayu tidak berupaya menjadi bahasa ilmu, tetapi kita sebenarnya tidak berupaya mengungkap bahasa itu dengan baik.

“Sebab itu DBP berperanan dan buat program dan kempen bahasa sepanjang masa. Sepanjang tahun kami ada program, ajak masyarakat dan pengguna untuk sama-sama menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik.

“Kalau kita lihat dari sudut yang besar, memang penggunaan bahasa kita sudah meluas sebab digunakan dalam banyak urusan, sama ada bahasa itu digunakan mengikut tatabahasa yang betul atau tidak, itu kita lihat kemudian,” katanya.

Akhbar ini 25 Ogos lalu melaporkan, pakar bahasa, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong meramalkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, sebahagian besar kosa kata bahasa Melayu akan digantikan dengan bahasa Inggeris kerana masyarakat hari ini lebih mengagungkan bahasa luar.

Katanya, satu kempen selamatkan bahasa kebangsaan perlu diadakan kerana sudah sampai masanya ia diangkat kembali sesuai dengan kedudukannya yang jelas di dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara.

Abang Sallehuddin berkata, dalam kajian pihaknya, tahap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat termasuk penjawat awam adalah baik dan mencapai tahap pematuhan tinggi, namun yang kurangnya dari segi kualiti penggunaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:53 AM