MOHD Taib (tengah) bersama pemenang Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Jabatan Penerangan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Mohd Wahyuddin Jamil Khair
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sketsa ‘Merdekakah Minda Kita’ jelas membawa tuah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Brickfields apabila muncul johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia 2017 yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina, SMK Agama (SMKAKL) di sini, semalam.

Kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, trofi dan sijil penyertaan.

Menurut guru pembimbing pasukan sekolah itu, Salwani Mohamed, tajuk sketsa berkenaan dipilih bagi mencapai mesej yang besar mengenai kemerdekaan buat generasi masa kini.

“Generasi baru perlu mengekalkan kemerdekaan yang kita capai pada masa kini dengan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.

“Mereka perlu menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan kerana tanpa mereka negara tidak mungkin akan mencapai kemerdekaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, bagi pelajar yang menyertai pertandingan Muhammad Ridwan Ramli, 16, dan Kaviprashan Raman, 16, mereka berpendapat pertandingan berkenaan dapat menambah pengalaman dan secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan antara kaum.

“Saya dapat menambah pengalaman baharu menerusi pertandingan ini.

“Pertandingan ini juga dapat menambah pengetahuan mengenai patriotik dan perpaduan negara ini,” katanya.

Pertandingan ini memberikan pemahaman mengenai konsep rukun negara untuk memupuk semangat jati diri dan cintakan kepada negara.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan, Mohd Taib Ubah. Turut hadir, pengetua SMKAKL, Kamarul Ariffin Mohd Shariff.

Selain itu, SMK Padang Tembak dan SMK Bandar Baru Sentul masing-masing menjadi naib johan dan tempat ketiga dengan membawa pulang RM1,500 dan RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 5:28 AM