ANGGOTA bomba memadam kebakaran pada kereta mangsa.
HM Digital

Melaka: Tiga beradik yang dalam perjalanan pulang selepas mencari kerja, cemas apabila enjin Perodua Myvi dinaiki tiba-tiba berasap sebelum terbakar ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Melaka Sentral, berhampiran Melaka Sentral di sini, semalam.

Pada kejadian jam 11.40 pagi, Perodua Myvi dipandu Azman Mad Satul, 19, dan dinaiki dua kakaknya Mastura, 22, dan Masrah, 25, dalam perjalanan ke Tangga Batu dari kawasan perindustrian Batu Berendam.

Azman berkata, sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau, mereka bersembang mengenai tawaran kerja pada papan iklan di kawasan perindustrian berkenaan.

“Tiba-tiba, enjin kereta berasap sebelum terbakar. Kami terus keluar dan tidak lama kemudian, api membakar keseluruhan Perodua Myvi.

“Kakak juga berputih mata kerana baru selesai melangsaikan pinjaman sewa beli kereta terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia hairan bagaimana kebakaran boleh tercetus hingga menyebabkan Perodua Myvi berkenaan rentung kerana sepanjang pemanduan, kereta berkenaan tidak berdepan masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 5:45 AM