Hassan menunjukkan tangki air di Kampung Orang Asli Lubuk Temengalan yang tidak berfungsi.
Penduduk mengisi air sungai dalam bekas untuk dibawa pulang ke rumah.
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


Jempol: “Masalah ini bukan sehari dua tapi berlarutan sejak 18 bulan lalu. Kesudahannya, kami terpaksa menjadikan air Sungai Raya untuk mandi, membasuh dan minum,” kata Hassan Eling, 46, mengenai bekalan air terputus di tiga perkampungan Orang Asli di daerah ini.

Ketiga-tiga perkampungan terbabit ialah Kampung Orang Asli Sungai Raya, Tamaron dan Lubuk Temengalan yang terdiri 60 rumah terjejas berikutan pam tangki air digunakan untuk menyalurkan bekalan ke rumah penduduk rosak dan tidak dibaiki.

Hassan yang juga Setiausaha Kampung Lubuk Temengalan berkata, sebelum ini penduduk tiga kampung berkenaan menerima bekalan air dari tangki disediakan di Kampung Lubuk Temengalan.

“Sumber air mentah disedut dari dalam tanah sebelum dikumpul dalam tangki dan diagihkan ke rumah penduduk. Masalah berkenaan pernah diajukan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) namun mereka memberi alasan tidak ada peruntukan membaiki kerosakan pam berkenaan.

“Apa yang membimbangkan ialah kebersihan air Sungai Raya belum terjamin kerana berdekatan kilang simen dan sawit selain melalui kawasan ladang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Justeru, Hassan berkata, dia dan penduduk Orang Asli di tiga kampung terbabit meminta campur tangan kerajaan menyelesaikan kemelut bekalan air yang terputus itu.

“Penduduk lebih gembira jika mendapat bekalan air bersih dibekalkan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) namun mereka memahami ia perlu mengambil masa untuk disiapkan disebabkan kos tinggi,” katanya.

Seorang lagi penduduk Sharif Kenodok, 56, berkata ketika ini hujan membolehkan penduduk mengumpul air selain mengambil air dari sungai berdekatan.

Katanya, keadaan menjadi sebaliknya ketika musim panas apabila penduduk terpaksa ke Sungai Muar mengambil air.

“Anak-anak ke sekolah pun tidak mandi. Setiap hari kami ke sungai untuk mandi dan mencuci pakaian sebelum mengisi air ke dalam tong untuk dibawa pulang. Yang tiada motosikal terpaksa pikul tong air dengan jarak rumah ke sungai kira-kira satu kilometer,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, masalah berlaku apabila pam sedia ada tidak berupaya menyalurkan air ke rumah penduduk di tiga kampung berkenaan.

Katanya, bagi menyelesaikan masalah dalam jangka pendek, JAKOA akan menghantar bekalan air ke kampung berkenaan menggunakan lori tangki.

“JAKOA negeri sudah diminta untuk menyelesaikan masalah kerosakan pam dengan segera dan sedang menunggu kelulusan peruntukan.

Manickam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perladangan, Sumber Manusia dan Kampung Baru negeri berkata, satu tangki baru akan dipasang di Kampung Sungai Raya sekali gus mengasingkan pengoperasian pam sedia ada di Lubuk Temengalan.

Keterangan gambar

1. PENDUDUK mengambil air dari Sungai Raya.

2. TANGKI air di Lubuk Temengalan yang tidak berfungsi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 5:52 AM