SHAHRUL Salmi Ahmad
BERNAMA

Alor Setar: Kisah keperibadian Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mulia dan disenangi segenap lapisan rakyat terus dikongsi, selain kemangkatan baginda disifatkan sebagai kehilangan besar.

Pelayan istana di Istana Anak Bukit di sini, Shahrul Salmi Ahmad, 39, berkata, beliau sangat berbesar hati dan bersyukur kerana berpeluang berkhidmat untuk Almarhum yang juga Sultan yang sangat mesra dan penyayang itu selama lebih sembilan tahun.

“Almarhum tidak kisah berbual-bual dengan saya, pelbagai kesah kami kongsi bersama dan saya suka tanya kisah dulu-dulu macam cerita zaman penjajah dan Almarhum tidak pernah jemu melayan soalan saya dengan mesra diselangi gurauan dan gelak tawa,” katanya, semalam.

Shahrul Salmi berkata, dia terharu apabila Almarhum memilihnya berkhidmat di Istana Negara ketika dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.

“Semasa di Istana Negara, kami sering bersenam bersama. Saya bekas penari, jadi selalu melakukan poco-poco, kalau Almarhum larat, baginda ikut sekali, jika tidak, Almarhum duduk saja dan tengok kami bersenam beramai-ramai.

“Oleh kerana saya berbadan besar, Almarhum selalu ingatkan saya supaya jaga makan dan turunkan berat badan kerana bimbang dapat penyakit. Almarhum serta anakandanya juga ingatkan saya supaya sentiasa bersenam,” katanya yang pernah mengikut Almarhum Sultan Abdul Halim ketika melakukan lawatan ke beberapa negara.

Menceritakan detik (malam) terakhir bersama Almarhum, Shahrul Salmi berkata, dia bersama dua lagi rakan setugas serta seorang jururawat dan pengawal keselamatan langsung tidak dapat melelapkan mata kerana bimbangkan keadaan Almarhum yang sangat uzur.

Dia berkata, mereka seolah-olah merasakan bakal kehilangan Sultan berjiwa rakyat yang sangat disayangi.

“Saya ada beberapa kali memanggil Almarhum dan bertanya, Tuanku mahu santap air? Almarhum hanya angguk dan saya suapkan air dengan sudu.

“Keadaan itu sangat menghibakan dan saya terkenang, setiap kali sebelum saya habis bertugas, Almarhum bertanya siapa yang masuk untuk syif seterusnya dan menyampaikan beberapa pesanan kepada pelayan istana yang menggantikan tugas saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 6:15 AM