Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kehidupan suka duka sebagai penghibur menjadi idea kepada pelajar, Siti Suhaana Fadhlan, 16, menghasilkan lukisan potret Allahyarham Tan Sri P Ramlee menggunakan cat air yang berjudul Antara Tawa dan Tangis Seniman.

Siti Suhaana berkata, bakat dan karya dihasilkan seniman agung itu sangat dikaguminya sehingga mendorongnya untuk melukis sebuah potret yang didedikasikan khas buat insan seni seperti P Ramlee.

“Ini kali pertama saya melukis potret P Ramlee dan gambar serta fotonya yang terdapat di Internet menjadi rujukan kerana saya tidak pernah bersemuka dengannya. Karya ini dihasilkan selama dua minggu pada tahun lalu.

“Saya sebenarnya tidak sangka lukisan yang dimuat naik di Facebook mendapat perhatian pihak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk dipilih menyertai Pameran Potret dan Karikatur P Ramlee,” katanya ketika ditemui selepas perasmian pameran itu di sini, semalam.

Karya Siti Suhaana antara 60 karya yang dipamerkan pada Pameran Potret dan Karikatur P Ramlee anjuran Fakulti Animasi dan Multimedia ASWARA bermula 5 September hingga 29 September di Galeri ASWARA.

Pameran yang dirasmikan kartunis terkemuka tanah air, Datuk Lat atau Mohd Nor Khalid bertujuan mengangkat martabat P Ramlee sebagai seniman yang tidak akan lenyap ditelan zaman.

Menjadi pelukis termuda yang dipilih, Siti Suhaana berkata, dia sudah menghasilkan hampir 100 lukisan berkonsepkan pemandangan, bunga, animasi dan potret sejak mula melukis pada usia 11 tahun.

“Ibu bapa antara pendorong utama saya meneruskan aktiviti ini dan berharap akan melukis dengan lebih baik selepas ini.

“Saya teringin untuk memasuki lebih banyak pameran lukisan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam ini yang bercita-cita menjadi arkitek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 6:23 AM
Siti Suhaana bersama potret P Ramlee yang dihasilkannya dipamerkan di Galeri ASWARA.