Hasan menilik permata dan cincin yang sering dibawanya.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Jertih: Tabiat seorang peminat batu permata dan cincin membawa koleksi berkenaan setiap kali melancong mungkin dianggap pelik, namun siapa sangka lelaki terbabit mampu menjana pendapatan antara RM300 hingga RM3,000 sehari sekiranya koleksinya itu terjual.

Hasan Mat Nor, 60, berkata, dia meminati batu permata dan cincin sejak berusia 19 tahun yang mana hobinya itu menjadi sumber pendapatan sampingannya yang bekerja sebagai pemandu di Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Orang lain pergi melancong membawa pelbagai barangan keperluan tetapi saya membawa semua koleksi batu permata dan cincin.

“Saya seolah-olah sudah ketagih dengan batu permata itu, memang tidak senang hati jika tidak melihat dan membelek koleksi yang ada.

“Membelek batu permata bukan hanya terapi untuk saya, sebaliknya ia turut memberi pulangan lumayan sekiranya ia terjual.

“Biasanya saya berkongsi minat dan saling bertukar pandangan dengan penduduk di lokasi yang saya lawati,” katanya yang menetap di Kampung Kubang Depu, di sini.

Hasan berkata, kebiasaannya dia membawa 10 cincin dan 20 permata pelbagai jenis termasuk batu arked, delima dan zamrud setiap kali melancong termasuk pernah membawa koleksinya itu ke Medan, Indonesia pada tahun 2000.

“Saya akan membawa beg yang mengandungi pelbagai koleksi cincin dan batu permata ke mana saja termasuk yang terbaru ketika menyertai Kembara Minda Kota Bharu, Kelantan.

“Biarpun ada kalanya saya tidak menjual koleksi yang ada, ia tetap memberi kepuasan kepada saya terutama apabila dapat berjumpa dengan peminat batu permata tempatan dan berkongsi pandangan.

“Hobi ini membuatkan saya mempunyai ramai kawan dan ia memudahkan saya mendekati komuniti di tempat yang dilawati kerana berkongsi hobi sama,” katanya.

Menurutnya, selain membeli batu permata itu daripada rakan, dia juga mencarinya sendiri di kawasan berbukit di sekitar Besut.

“Saya pernah membeli cincin zamrud yang berharga RM2,500 dan menjualnya semula pada harga RM3,000 dan peminat batu permata biasanya akan membuat tawaran harga mengikuti kualiti batu permata,” katanya.

Hasan berkata, mengumpul batu permata boleh dianggap hobi yang kurang diminati masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 7:21 AM