SEBAHAGIAN guru melaksanakan kerja berkumpulan di Bengkel Guru STEM.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Pendedahan diberikan melalui program ini sangat bermanfaat dan perlu diperluaskan kepada semua guru,” kata Norasyikin Jumaen, 43, seorang daripada 64 guru Sains dan Matematik yang mengikuti Bengkel Guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di sini, semalam.

Norasyikin berkata, dia dan peserta lain mendapat banyak pendedahan mengenai STEM hasil penerangan secara menyeluruh di program itu.

“Sebelum ini, aktiviti berkaitan STEM hanya membabitkan murid dan pembabitan guru dengan diberi penerangan secara lebih mendalam menjadi maklumat yang sangat berguna untuk merealisasikannya.

“Kami memperoleh pendedahan terbaru mengenai teknik pengajaran STEM di sekolah, justeru ia memberi lebih pemahaman kepada guru,” katanya yang juga guru Sains di Sekolah Menengah Sains Setiu.

Program berkenaan dianjurkan ExxonMobil dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membabitkan penyertaan seramai 64 orang guru dari seluruh negeri.

Mohd Khairi Mohd Nor, 41, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, Besut pula berkata, program itu wajar diperluaskan dan membabitkan lebih ramai lagi tenaga pengajar supaya dapat membantu mereka dalam merealisasikan proses pengajaran di sekolah.

“Usaha yang diambil pihak ExxonMobil dan UKM dalam meningkatkan mutu pengajaran guru dalam mata pelajaran STEM seharusnya dipuji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Projek Program ExxonMobil-UKM STEM Club, Dr Satar Rasul berkata, seramai lapan guru di setiap daerah dipilih untuk menyertai program berkenaan.

“Kesemua guru yang menyertai program berkenaan diberi pendedahan dan latihan bagi membolehkan mereka mempraktikkan teknik pengajaran terbaru STEM di sekolah masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:10 AM