TANDAS usang yang digunakan Ahmad dan keluarganya.
KEADAAN rumah Ahmad yang hampir runtuh.
HM Digital

Sungai Petani: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu nasib seorang pesara tentera apabila terpaksa merayu sumbangan orang ramai membaiki rumahnya yang hampir roboh akibat dimakan anai-anai dan sering ditengelami ketika air pasang dan hujan lebat.

Ahmad Harun, 60, yang pernah bertugas di Batalion 7 Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mentakab, Pahang pada 1976 hingga 1998 kini tinggal bersama isteri Rohilah Ahmad, 43, dan dua anak Muhamad Salman, 15, dan Muhamad Sharul, 11, di rumah usang di Kampung Sungai Emas Ujung, Kota Kuala Muda, di sini sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, keadaan rumahnya semakin teruk akibat dimakan anai-anai serta sering ditenggelami air akibat hujan lebat dan air pasang sejak kebelakangan ini, malah bahagian tepi rumahnya hanya ditutup dengan plastik kerana tingkapnya sudah roboh.

Katanya, biarpun keadaan rumahnya amat daif, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mampu untuk membaikinya atas faktor kewangan.

“Duit pencen RM900 sebulan itulah sumber pendapatan untuk menyara kami empat beranak. Walaupun saya ada membuat kerja sambilan sebagai juruhebah (DJ) di rumah kenduri, namun hasilnya tidak tetap.

“Saya juga sukar untuk membuat kerja berat kerana menghidap kencing manis dan darah tinggi. Apa yang saya dapat hanya sekadar cukup membeli keperluan harian, sebab itu saya tidak mampu untuk membaiki rumah biarpun keadaannya semakin teruk,” katanya.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan membaiki rumah dan membina sebuah tandas baru kepada pelbagai pihak, namun diberitahu permohonannya gagal dan tidak layak kerana tapak rumahnya itu tiada geran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:48 AM