DR Zaleha wanita pertama yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu bersama tetamu kehormat termasuk Ahmad Razif (tiga dari kiri).
HM Digital

Kuala Terengganu: Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin menjadi wanita pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin perkenan menyampaikan tauliah perlantikan Dr Zaleha, 56, yang berasal dari Raub, Pahang pada satu majlis ringkas di Istana Syarqiyyah, Chendering, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Mohd Zuber Embong dan Ketua Hakim Syarie Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Perlantikan Dr Zaleha itu diumumkan Wan Mohd Zakri pada majlis makan malam kelmarin sempena meraikan pentauliahan Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Wan Mohd Zakri berkata, tugas utama Dr Zaleha adalah mengendalikan dan mendengar kes rayuan serta mempunyai kuasa untuk membatal atau mengurangkan sabitan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

“Dr Zaleha juga boleh mengeluarkan perintah perbicaraan semula atau ulang bicara terhadap kes selepas menerima rayuan responden,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:11 AM