PENIAGA ikan melayan pelanggan di kedainya, di Kuala Terengganu.
HM Digital

Kuala Terengganu: “Orang tengah tidak perlu modal kerana peroleh keuntungan dengan hanya berbekalkan suara untuk mengarahkan ikan hasil tangkapan nelayan dihantar ke mana-mana,” kata Rahmat Wahab, 56, seorang pemborong yang berniaga
di Pasar Borong Gong Pauh, di sini.

Menurutnya, pembabitan orang tengah antara faktor harga ikan mahal kerana mereka berada di peringkat pertama pasaran sebelum dijual kepada pemborong dan peruncit.

“Sebagai contoh ikan selayang besar diambilnya pada harga RM5.80 sekilogram, ia perlu dijual RM6.50 atau RM7 sekilogram kerana pihaknya perlu menanggung kos tambang lori, pekerja dan ais.

“Selepas ikan itu dijual kepada peruncit pada RM7 sekilogram menyebabkan mereka menjualnya sehingga RM10 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini.

Rahmat berkata, pengalamannya berniaga ikan sejak 1977 dan menjadi pemborong sejak lapan tahun lalu memberikannya pelbagai cabaran membabitkan masalah mengenai harga ikan.

Katanya, dia tidak menolak harga ikan kini memang tidak menentu kerana bergantung kepada tangkapan kerana jika banyak dibawa pulang nelayan, harganya akan murah dan begitu sebaliknya.

“Untuk melaksanakan harga yang disyorkan kerajaan contohnya ikan kembung antara RM8 hingga RM9 sekilogram amat mustahil untuk dilakukan kerana modal kami sendiri sudah mencecah pada harga itu.

“Saya harap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dapat menjadi orang tengah bagi mengawal harga ikan atau mereka melantik satu pihak yang boleh menjadi orang tengah dalam memasarkan ikan di negara ini,” katanya.

Peniaga ikan, Fatimah Adam, 50, berkata, dia memperoleh bekalan ikan daripada orang tengah dan kemudian meminta pemborong menghantar bekalan kepadanya.

“Saya memperoleh ikan daripada mereka dengan harga yang sudah ditetapkan dan mahu atau tidak saya perlu juga mengambil sedikit keuntungan kerana harga ikan diambil sudah mahal.

“Harga ikan tidak menentu ditambah bekalan ikan berkurangan sekarang mengakibatkan harga ikan sedikit tinggi,” katanya.

Menurutnya, sebagai peruncit dia sudah melalui beberapa peringkat untuk mendapatkan bekalan ikan iaitu orang tengah, pemborong dan baru tiba ke tangannya.

Katanya, dengan melalui banyak ‘tangan’ itu menyebabkan harga ikan menjadi mahal sebelum ia tiba kepada pengguna.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Marang, Sulong Ismail, 49, mendakwa masalah harga ikan ketika ini berpunca daripada kekurangan hasil tangkapan nelayan.

“Jumlah tangkapan semakin sedikit, manakala jumlah ahli kami kini 600 orang yang mana lebih 300 daripada menggunakan bot gentian kaca untuk menangkap ikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:38 AM