ANTARA hasil kerja Firdaus daripada tempahan pelanggan.
HM Digital

Chukai: Kepakarannya mengaplikasi teknologi nano dalam perkhidmatan penyemburan krom pada kenderaan dan aksesori membuatkan hasil kerjanya mendapat sambutan ramai.

Malah perkhidmatan yang dijalankan sejak enam bulan lalu memberikan lelaki itu pulangan lumayan melebihi RM3,000 sebulan.

Firdaus Mohd, 32, dari Kampung Gong Limau berkata, dia menggunakan teknologi terkini selepas mengikuti kursus khas di Johor selama dua bulan bagi memastikan teknik penyemburan krom dikuasai sepenuhnya.

“Lebih lima kali saya gagal ketika menjalani amali dan proses menguasai teknik penyemburan warna krom.

“Sebanyak RM2,000 dihabiskan semata-mata memastikan teknik penyemburan warna krom itu dikuasai dengan baik.

“Alhamdulillah, sekarang saya menguasai teknik semburan berkenaan sehingga pelanggan tidak putus-putus datang,” katanya, semalam.

Firdaus berkata, teknik penyemburan krom sangat cerewet dan 100 peratus berbeza berbanding teknik warna lain.

“Pelbagai langkah perlu dipatuhi antaranya proses penyemburan perlu dijalankan di tempat khas yang mempunyai sistem pengudaraan baik selain terhindar daripada habuk.

“Objek yang siap disembur perlu dikeringkan di dalam ketuhar khas berbeza dengan teknik semburan biasa yang hanya perlu dijemur di bawah cahaya matahari.

“Paling mencabar apabila objek mengalami sedikit kecacatan selepas penyemburan biarpun hanya habuk yang melekat pada semburan, ia perlu dibuat semula bagi menjamin kesempurnaan hasil kerja,” katanya.

Menurutnya, dia menerima pelbagai jenis barangan antaranya topi keledar, aksesori motor dan kereta manakala tempoh bagi menyiapkan semburan krom bergantung kepada saiz barangan.

“Topi keledar mengambil masa empat hari dan harga upah berserta cat RM250.

“Barangan lain bermula dengan harga RM80, bergantung kepada jenis barang dan saiz,” katanya.

Katanya, tidak semua tukang cat ada kepakaran penyemburan krom, justeru kemahirannya sangat terhad di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:42 AM