PARDIP (kanan) memberi taklimat kepada duta dari Kedutaan Amerika Latin yang membuat lawatan ke Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS), Seri Kembangan.
Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan InvestKL akan mewujudkan lorong basikal pertama di atas jalan raya pada bulan hadapan sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota menjelang 2020.

Bagi tujuan itu, DBKL bersama PEMUDAH dan InvestKL memperuntukkan hampir RM4 juta untuk mewujudkan lorong basikal berkenaan.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL, Sabudin Mohd Salleh berkata, pihaknya akan mengecilkan lorong lalu lintas yang ada dengan mewujudkan satu lorong basikal khas di Menara One, Jalan Raja Laut sehingga Jalan Raja Abdullah, di sini.

“Sebagai sebuah negara maju, adalah perlu untuk kita membina sebuah lorong basikal yang bersaiz 1.5 meter di atas jalan raya bagi menggalakkan lebih ramai warga kota menggunakan basikal untuk ke sesuatu destinasi.

“Melihat kepada kesesakan yang berlaku di ibu negara, kita sudah membuat kajian dan pembinaan lorong basikal di atas jalan raya langkah terbaik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas menjelang 2020 nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan kedutaan Amerika Latin ke Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Datuk Mahadi Che Ngah, Pengerusi Eksekutif Grand Paradise Holdings Sdn Bhd Pardip Kumar Kukreja, Timbalan Pengarah Bahagian Pengangkutan Bandar DBKL Steven Tan serta tujuh wakil kedutaan dari Amerika Latin dan Utara membabitkan Argentina, Brazil, Kanada, Ecuador, Mexico, Uruguay dan Cuba.

Sabudin berkata, pihaknya akan membina enam kilometer (km) laluan basikal di atas jalan raya berkenaan yang berwarna biru serta tertera logo basikal di atasnya.

“Pembinaan lorong basikal di atas jalan raya diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada orang awam menggunakan basikal untuk ke suatu destinasi tanpa gangguan.

“Selain itu, ia bukan saja mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan utama, malah menjimatkan masa daripada terperangkap dalam kesibukan jalan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:56 AM