MOHD Alias (tiga dari kiri) ketika Pra Pelancaran Majlis Jalinan Mesra dan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Negeri Selangor 2017.
HM Digital

Petaling Jaya: Buat julung kalinya, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Selangor akan menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Koperasi Selangor pada 15 Disember ini.

Pengerusi ANGKASA Selangor Datuk Mohd Alias Hamzah berkata, majlis itu bagi menghargai tugas dan peranan 1,100 koperasi yang berdaftar bawah ANGKASA negeri selain berkongsi pandangan dalam memperkasakan perniagaan.

“Sebanyak 25 anugerah disediakan dan semua anugerah ini adalah untuk melengkapi anugerah yang diberikan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di peringkat kebangsaan.

“Kita memilih untuk mengadakan anugerah ini buat kali pertama tahun ini selepas melihat mempunyai barisan jawatankuasa yang mampu memberi manfaat bersama dalam kalangan anggota koperasi negeri,” katanya pada sidang media di Wisma Ungku A Aziz, di sini semalam.

Hadir sama, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Sementara itu, Abdul Fattah memuji inisiatif ANGKASA Selangor apabila menjadi negeri pertama di Malaysia menganjurkan anugerah berkenaan di Hotel Aliya, Klang yang dilihat dapat meningkatkan persefahaman antara koperasi dan pihak swasta.

“Saya difahamkan, anugerah yang diberikan nanti adalah anugerah yang tidak ada di peringkat SKM dan itulah yang sebaiknya kerana kita perlu saling melengkapi sesama sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, ANGKASA Selangor menerima cek tajaan RM26,000 daripada penaja antaranya Bank Muamalat Malaysia Bhd, Gano E Worldwide dan Koperasi Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:55 AM