Ahmad Zahid bersama peserta selepas berucap di Town Hall Majlis Sosial Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
Hayati Ibrahim Hayati Ibrahim

ya_t@hmetro.com.myya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Fenomena kebankrapan dalam kalangan belia sangat membimbangkan dan tiga punca utama bankrap adalah pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi dan perumahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak 2012 hingga 2016 secara purata 20,391 kes kebankrapan didaftarkan setahun.

Katanya, pada 2016 saja, 19,588 kes kebankrapan dan golongan paling ramai dalam statistik ini adalah mereka yang berumur antara 35 hingga 44 tahun.

“Ada pihak yang mengatakan peningkatan kos sara hidup kini mendesak golongan belia berhutang, siapa di antara kita tidak pernah berhutang? Tidak semua boleh membeli rumah atau kereta dengan tunai.

“Hutang sebenarnya adalah komitmen tetapi menjadi satu bebanan kalau pengurusan kewangan tidak cekap... jadi berbelanja mengikut kemampuan bukan sedap hati,” katanya pada sesi Townhall Majlis Sosial: Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata, masalah bankrap dapat diatasi sekiranya belia didedahkan dengan pengetahuan asas mengenai cara menguruskan kewangan dan panduan asas mengenai cara menyelesaikan masalah kewangan dihadapi.

Pada sesi itu, Ahmad Zahid mengumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Jenayah Siber sebagai usaha menangani masalah berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pelantikan itu tepat pada masanya memandangkan masyarakat kini berdepan masalah dadah digital terutama ketagihan dan pengaruh gajet.

“Gajet membawa kebaikan dan keburukan kepada masyarakat. Tanda ketagihan Internet adalah rasa kecewa, serabut dan menjadi marah jika tidak dapat melayari Internet.

“Mereka yang ketagih Internet akan berfikir mengenai apa yang berlaku dalam talian dan bukan apa yang berlaku di depan mata atau realiti sebenarnya,” katanya.

Menurutnya, 2,341 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari Januari hingga April tahun ini, dan aduan jelik, palsu, lucah dan fitnah adalah empat kategori aduan paling tinggi.

Selain itu, beliau berkata, gejala penagihan dadah di negara ini juga perlu dibendung menerusi pembabitan bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan masyarakat.

“Kes baru 22,903 manakala kes berulang 7,921.

“Statistik ini jelas menunjukkan berlaku peningkatan kes penagih dadah baru sejak 2012 hingga 2016,” katanya.

Sesi townhall itu diadakan bagi mendapatkan cadangan baru yang boleh dilaksanakan kerajaan dalam menangani kebejatan (kerosakan) sosial.

Ia dihadiri tiga pakar iaitu Pengarah Urusan/Ketua Ekonomi DM Analytics Dr Muhammed Abdul Khaled, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Ketua Pengawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zulkarnain Mohd Yassin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 10:11 AM