PENGURUS Sani Hotel, Aswad Naemat (tengah) bersama Eksekutif Kaunter Penyambut Tetamu, Rapidatul Rafidah Ramli (kiri) dan Penyelia Kaunter Penyambut Tetamu, Farini Shafina Md Dollah.
Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu larangan wanita bertudung bekerja di bahagian kaunter pendaftaran atau ‘front desk’ tidak timbul dalam kalangan pengusaha hotel yang dimiliki anak tempatan atau Bumiputera malah golongan itu sentiasa dialu-alukan dalam perkhidmatan berkenaan.

Tinjauan di beberapa hotel sekitar Lembah Klang mendapati, memang ada wanita bertudung yang bertugas di kaunter hadapan malah mereka turut mengakui tidak berdepan sebarang masalah diskriminasi sepanjang bertugas.

Pengurus Sani Hotel Kuala Lumpur, Aswad Naemat berkata, meskipun etika pakaian pekerja diambil kira dan sangat ditekankan dalam industri perhotelan kerana mereka perlu berurusan dengan pelanggan daripada pelbagai peringkat, pihaknya tidak melarang wanita bertudung bekerja di bahagian itu.

“Kita sentiasa memberi peluang kepada mereka dan tiada sebarang syarat atau larangan ditetapkan kepada calon yang ingin datang temu duga dalam jawatan itu.

“Sebaliknya sebagai sebuah hotel milik anak tempatan beragama Islam yang mengamalkan konsep mesra Muslim, kami juga menitikberatkan soal pemakaian mereka supaya sentiasa sopan dan kemas,” katanya.

Mengulas mengenai isu wanita bertudung dilarang bekerja di bahagian berkenaan, Aswad berpendapat, sudah tiba masanya Kementerian Pelancongan mengambil berat perkara itu dan menguatkuasakan undang-undang terhadap majikan supaya tidak lagi wujud diskriminasi dalam kalangan wanita bertudung dalam bidang perhotelan di negara ini.

Katanya, amalan itu adalah baik kerana Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam, apatah lagi hotel di negara ini bukan semata-mata dipenuhi pelancong asing, sebaliknya terdapat pelanggan mereka juga ada dalam kalangan pelancong tempatan beragama Islam.

Sementara itu, seorang bekas pekerja ‘front desk’ sebuah hotel terkemuka yang mahu dikenali sebagai Linda, 42, berkata, larangan wanita bertudung itu berlaku di beberapa hotel antarabangsa yang dimiliki atau diuruskan orang asing.

“Sepanjang 15 tahun berkhidmat dalam bidang perhotelan, saya mengakui memang ada rakan yang terpaksa membuka tudung untuk bekerja di ‘front desk’ kerana dikatakan ia syarat ditetapkan hotel berkenaan.

“Namun, perkara itu sudah dimaklumkan kepada mereka ketika sesi temu duga dan mereka berhak untuk menolak tawaran kerja berkenaan sekiranya tidak bersetuju,” katanya.

Katanya, kod pakaian dan etika bekerja yang dilaksanakan sesebuah hotel itu bergantung kepada pemilik dan pengurusan hotel berkenaan yang sudah diselaraskan untuk semua cawangan hotel mereka di serata dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:14 AM