KEINDAHAN pusat rekreasi Paya Biru FELDA Loke Heng Selatan yang dibuka sejak 30 tahun lalu.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Kurang peka dan tidak biasa dengan keadaan persekitaran pusat rekreasi Paya Biru FELDA Loke Heng Selatan di sini, menjadi antara punca pengunjung luar sering terdedah kepada bahaya terutama ketika mandi di kawasan itu pada waktu hujan.

Ketua penerokanya, Mohammad Bakar berkata, pihaknya ada memasang papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan selain mendapatkan bantuan peniaga untuk memberi peringatan kepada orang ramai.

Katanya, berhubung kejadian lemas membabitkan seorang pelajar pada Isnin lalu, kebanyakan peniaga yang berada di kawasan itu secara kebetulan tidak berniaga berikutan kurang pelanggan pada hari berkenaan.

“Kebiasaannya penduduk kampung tidak akan ke situ (untuk mandi) pada musim hujan, selain tahu mengenai larangan ke kawasan tengah kolam terutama ketika air bertukar keruh kerana keadaan airnya yang deras serta mengalir dari Bukit Tangga Tujuh, di sini.

“Dalam kejadian Isnin lalu, hanya satu warung dibuka sedangkan pada hari-hari biasa, peniaga akan melarang orang luar mandi ketika hujan kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Mungkin ketika kejadian, peniaga itu tidak perasan kerana sibuk melayan pelanggan hingga gagal memberikan amaran kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohammad berkata demikian bagi mengulas kejadian menimpa Allahyarham Muhammad Faez Salahuddin, 16, yang ditemui lemas ketika mandi di Paya Biru kawasan felda berkenaan pada awal pagi kelmarin.

Sebelum itu, arwah bersama tujuh rakannya tiba di kawasan itu dengan menaiki motosikal sebelum mandi di kolam terbabit kira-kira jam 4 petang Isnin lalu.

Menjawab dakwaan penduduk kampung tidak membantu mangsa lemas ketika bantuan diperlukan, Mohammad berkata, mereka dengan kenyataan itu kerana membantu menjejaki pelajar terbabit sehingga ke awal pagi.

Menurutnya, kejadian menimpa mangsa turut dirasai penduduk kampung apabila mereka membantu anggota penyelamat mencarinya di hilir sungai dan memasang perangkap untuk mengelak daripada hanyut dibawa arus.

Katanya, penduduk kampung juga menyediakan penginapan di rumah inap desa bagi membolehkan orang ramai yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) berehat.

“Kami sedih dengan kejadian itu dan terkilan dakwaan itu kerana masyarakat Loke Heng membantu tanpa diminta. Malah kerjasama semua pihak membuahkan hasil kurang lapan jam apabila menemui mangsa,” katanya.

Berita berkaitan

Kata-kata terakhir penuh emosi Faez

Sembilan jam cari Faez

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:22 AM