DOKUMEN palsu menggunakan nama PKPMP.
HM Digital

Kuala Lumpur: Hantar e-mel ‘gertak’ kepada ramai mangsa dengan menjaja nama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP).

Itu modus operandi sindiket penipuan bagi memperdaya mangsa sebelum menuntut wang selepas mendakwa kononnya mangsa mempunyai kes saman di mahkamah.

Jurucakap PKPMP berkata, sindiket itu membuat panggilan rambang sebelum mendakwa mangsa ada kes saman dan menuntut mangsa segera hadir ke mahkamah pada hari bercuti atau hari minggu.

Menurutnya, sindiket terbabit turut mengugut mangsa dengan menyatakan mereka didakwa atas beberapa kesalahan dan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi mengelakkan tangkapan dibuat.

“Mangsa yang terpedaya diminta memasukkan sejumlah wang ke akaun milik sindiket sekiranya mahu kes mereka diselesaikan tanpa hadir ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, selain membuat panggilan telefon, sindiket terbabit juga menghantar e-mel mengatakan mangsa waris sah bagi mewarisi harta berjumlah jutaan ringgit.

“Mangsa diminta memasukkan sejumlah yuran ke dalam akaun bank pihak sindiket supaya pewarisan harta diproses segera.

“Bagi meyakinkan orang ramai, sindiket terbabit turut menghantar e-mel bersama sijil perakuan yang menggunakan logo rasmi PKPMP sebelum pembayaran dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:26 AM