ROSLIN membersihkan kawasan kubur ibunya, Mariam Jusoh manakala Mohamad Zamri membacakan doa buat arwah ibu saudaranya di Tanah Perkuburan Kampung Baru Kuala Abang.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: “Setiap hari saya terkenangkan arwah mak sepanjang berada di sana (Indonesia). Saya dah berniat apabila dibebaskan, antara perkara pertama dibuat nak lawat kubur arwah,” kata nelayan Roslin Awi, 40, selepas dibebaskan dari tahanan di Pusat Tahanan di Tarempa, Riau, Indonesia, semalam.

Roslin bersama sepupunya, Mohamad Zamri A Rahman, 46, dibebaskan selepas menjadi tahanan sejak lapan bulan lalu.

Menurut Roslin, sebelum ini, rakan mereka Ariffin Kasim, 58, dibebaskan pada 12 September lalu manakala tekong bot, Kamaruzaman Awi, 46, yang juga abangnya dibawa ke Latuna, Indonesia untuk menunggu perbicaraan dan hukuman.

“Saya sangat gembira selepas dibebaskan. Sebaik tiba di Dungun, saya segera ke tanah perkuburan untuk melihat pusara ibu,” katanya yang masih belum berumah tangga.

Sementara itu, Mohamad Zamri berkata, dia berterima kasih kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Dungun yang berusaha membantu mereka berdua pulang.

“Saya sungguh terharu dengan jasa baik PNK dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) yang sanggup mengeluarkan RM5,000 untuk membiayai kos kepulangan kami berdua,” katanya.

Menurutnya, buat sementara waktu, mereka berdua ingin berehat kerana masih keletihan selepas lapan bulan ditahan.

“Kakitangan Jabatan Perikanan dan Imigresen Indonesia memberi layanan baik kepada kami semua sepanjang ditahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PNK Dungun Alauddin Ali berkata, pihaknya dalam proses membantu membebaskan dua lagi tekong bot iaitu Kamaruzaman dan Leong Beng Siang, 60, yang ditahan di Pusat Tahanan di Batam, Indonesia.

“Apa pun, kami semua amat bersyukur dan tanpa jasa serta keprihatinan NEKMAT, mungkin kedua-dua nelayan ini belum boleh mencium bau tanah Malaysia,” katanya.

Semua nelayan terbabit ditahan selepas bot dinaiki tersasar dan memasuki perairan antarabangsa sebelum ditahan kapal tentera Indonesia di Pulau Tarempa, Riau, 8 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:36 AM