CHARLES menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak terpilih.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kelengkapan persekolahan yang diterima ini sudah semestinya dapat memotivasikan dan menyuntik semangat saya untuk meneruskan persekolahan dan belajar lebih tekun,” kata pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Hakimi Mohd Noor, 14.

Dia antara 200 penerima sumbangan kelengkapan persekolahan seperti beg sekolah, pakaian seragam sekolah, kasut, stoking dan alat tulis menerusi program ILTIZAM anjuran Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dengan kerjasama Institut Onn Jaafar (IOJ).

Hakimi berkata, bantuan itu juga meringankan beban kos sara hidup keluarga memandangkan bapanya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan rendah.

“Hanya ayah seorang yang menyara kehidupan tiga adik-beradik saya yang masih bersekolah. Dengan gaji yang tidak seberapa, ia memang tidak cukup membiayai keperluan harian kami.

“Namun, dengan sumbangan ini, ia sedikit sebanyak membantu ayah mempersiapkan kami untuk meneruskan persekolahan. Saya sangat seronok dan berterima kasih kepada mereka yang terus menunjukkan keprihatinan khusus buat golongan yang memerlukan seperti kami,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan di pejabat IOJ, semalam.

Pada majlis itu, antara penerima adalah kanak-kanak dari SBJK, Pusat Aktiviti Kanak-kanak Yayasan Chow Kit (PAKK) dan Pusat Jagaan Baitul Amal (PJBA).

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, sumbangan itu adalah program tanggungjawab sosial korporat syarikat yang juga kesinambungan daripada ILTIZAM Back To School.

“Program ini akan memanfaatkan 16,000 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan membabitkan 300 sekolah seluruh negara.

“ILTIZAM berfokus kepada tiga tunjang iaitu keusahawanan, pendidikan dan komuniti dengan program pada hari ini adalah berteraskan komuniti bertujuan menyumbang kelengkapan persekolahan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan dan Pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:44 AM