Basir mengambil penumpang di jeti Pengkalan Kok Majid untuk ke Pulau Beluru.
HM Digital

Tumpat: “Banjir atau tidak, perkhidmatan bot tambang tetap diteruskan kerana ia sumber pendapatan keluarga,” kata pemandu bot tambang, Basir Mohamad, 51, di Pengkalan Kok Majid di sini.

Basir berkata, dia mengendalikan perahu enjin galah di kawasan kepulauan Tumpat sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, walaupun berpengalaman dia tetap berhati-hati dengan mengutamakan keselamatan penumpang dari jeti Pengkalan Kok Majid ke kepulauan Tumpat.

“Alhamdulillah, setakat ini belum ada tragedi berlaku sepanjang saya membawa penumpang.

“Walaupun arus deras terutama minggu ini disebabkan hujan di kawasan hulu (Gua Musang dan Kuala Krai), kami pemandu bot di sini masih boleh cari makan,” katanya di jeti Pengkalan Kok Majid di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, rakannya, Mohd Adly Deraman, 45, berkata, dia baru 10 tahun mengendalikan perahu enjin galah dengan membawa bekalan kelapa untuk dipasarkan.

“Setiap hari saya bawa 100 hingga 150 kelapa yang diambil di sekitar kawasan kepulauan untuk dibawa ke daratan.

“Setiap kali angkut kelapa, saya perlu berhati-hati kerana bimbang ia terjatuh ke sungai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:59 AM